Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Luahan marah Salah tambah tekanan terhadap Slot
  • SUKAN

Luahan marah Salah tambah tekanan terhadap Slot

Utusan Sarawak 9 hours ago

Pengurus Liverpool Arne Slot bergelut mencari jawapan. Foto AFP

LEEDS (United Kingdom): Arne Slot masih terkejut dengan satu lagi kegagalan Liverpool di Leeds apabila Mohamed Salah pula menyerang ketua jurulatihnya dan pengurusan kelab dalam satu luahan selepas perlawanan — sesuatu yang mungkin menandakan penghujung kerjaya legenda itu di Anfield.

Juara Liga Perdana itu kini berdepan pelbagai masalah selepas hanya meraih empat kemenangan dalam 15 perlawanan semua kejohanan, dan kini terpaksa menangani pula kemungkinan perpisahan yang tidak baik dengan salah seorang bintang terhebat dalam sejarah kelab.

Hanya dua pemain — Ian Rush dan Roger Hunt — pernah menjaringkan lebih banyak gol berbanding 250 gol milik Salah untuk juara England 20 kali itu. 

Pemain Mesir itu menjadi tonggak dua kejuaraan tersebut, terutama musim lalu apabila beliau memenangi hampir semua anugerah individu dalam kempen gemilang ketika Slot menjuarai liga pada musim debutnya.

Kini Salah mendakwa hubungannya dengan pengendali dari Belanda itu telah rosak selepas diketepikan di bangku simpanan dalam tiga perlawanan terakhir.

Mohamed Salah (kiri) kelihatan kecewa sebagai pemain simpanan yang tidak digunakan dalam keputusan seri 3-3 menentang Leeds awal pagi tadi.

“Nampaknya kelab telah mengorbankan saya. Itu apa yang saya rasa. Sangat jelas seseorang mahu saya dipersalahkan,” kata Salah.

Walaupun prestasi Salah yang merosot pada usia 33 tahun memainkan peranan besar dalam kejatuhan Liverpool musim ini, Slot sebelum ini tetap mengekalkannya dalam kesebelasan utama sehingga minggu lalu. 

Beliau hanya menjaringkan lima gol dalam 19 penampilan dan sering dikritik kerana kurang membantu dari segi kerja bertahan.

Liverpool dan Salah memang dijangka berpisah seketika kerana pemain itu akan mewakili Mesir di Piala Negara-Negara Afrika selepas perlawanan menentang Inter Milan dan Brighton minggu ini. 

Namun Salah memberi bayangan bahawa aksi menentang Brighton boleh menjadi perlawanan terakhirnya di Anfield.

“Saya akan menikmati perlawanan itu kerana saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini,” tambahnya.

“Saya akan ke Anfield untuk ucap selamat tinggal kepada penyokong dan kemudian ke Piala Negara Afrika. Saya tidak tahu apa akan terjadi ketika saya berada di sana.”

Konfrontasi terbuka dengan seorang legenda yang sangat disayangi adalah perkara terakhir yang Slot perlukan ketika sokongannya dalam kalangan peminat Liverpool semakin merosot, hanya beberapa bulan selepas menjulang Liga Perdana.

Kegagalan mempertahankan kedudukan 2-0 dan 3-2 menentang Leeds bermakna Liverpool hanya menang dua daripada 10 perlawanan liga terakhir, jatuh ke tangga kelapan dan secara realistik menamatkan harapan mempertahankan gelaran jauh sebelum Krismas.

Walaupun Slot berani mengetepikan Salah, keengganannya melakukan perkara sama terhadap pertahanan tengah Ibrahima Konate terus menjadi bahan kritikan.

Ketika Liverpool mendahului 2-0, Konate memberikan Leeds peluang kembali ke dalam permainan dengan terjahan tidak perlu ke atas Willy Gnonto ketika bola hampir keluar, sekali gus menghadiahkan penalti.

Beberapa saat kemudian, kelebihan selesa Liverpool hilang begitu sahaja apabila Leeds, dengan sokongan padu penyokong tuan rumah, menyamakan kedudukan melalui Anton Stach.

“Keputusan Konate untuk melakukan penalti itu memang tak masuk akal,”kata bekas pemain tengah Liverpool, Jamie Redknapp.

Walaupun Dominik Szoboszlai mengembalikan kelebihan Liverpool, mereka tetap dibolosi sekali lagi apabila Ao Tanaka merembat masuk dari situasi sepakan penjuru pada masa kecederaan.

Slot mengakui tiada apa yang baharu mengenai masalah Liverpool yang sekali lagi bolos lewat permainan dan daripada situasi bola mati.

Namun kegagalannya menghentikan kejatuhan prestasi ini menimbulkan persoalan besar terhadap masa depan beliau dan juga Salah menjelang tahun 2026. – AFP

Continue Reading

Previous: Arteta yakin Arsenal akan bangkit selepas dikejutkan Aston Villa
Next: Keputusan buruk Liverpool berpunca daripada diri sendiri, kata Slot

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.