Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • LTAT umum dividen 5.35 peratus, agihan tertinggi dalam lapan tahun
  • NASIONAL

LTAT umum dividen 5.35 peratus, agihan tertinggi dalam lapan tahun

Utusan Sarawak 5 hours ago
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) ketika Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi Tahun Kewangan 2025 hari ini. LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, jumlah agihan dividen tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Agihan keseluruhan berjumlah RM524.74 juta meningkat daripada RM514.2 juta pada 2024.

Bagi tahun kewangan yang dilaporkan, LTAT mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dengan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM749.49 juta dan keuntungan boleh agih RM541.56 juta.

Sementara itu, rizab meningkat sebanyak 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024.

“Prestasi yang memberangsangkan ini mencerminkan usaha berterusan LTAT dalam memperkukuh kedudukan kewangannya serta meningkatkan daya tahan institusi dalam mengurus simpanan pencarum secara berhemat dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pengumuman dividen LTAT 2025 di sini hari ini.

Menurut LTAT, pengisytiharan dividen ini juga menandakan tahun keempat berturut-turut LTAT mencatatkan pulangan dividen sebanyak lima peratus atau lebih sekali gus menyerlahkan pendekatan pelaburan yang berdisiplin serta usaha berterusan dana dalam mengoptimumkan portfolio pelaburannya dalam persekitaran ekonomi yang dinamik.

Dividen itu akan dikreditkan dalam akaun pencarum esok dan pencarum boleh menyemak penyata masing-masing melalui aplikasi mudah alih MyWIRA atau melayari laman web rasmi LTAT.

Sementara itu, ​Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata prestasi itu satu pencapaian yang membanggakan memandangkan situasi ekonomi dunia yang mencabar sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata LTAT terus memperkukuh portfolio pelaburannya dengan penuh komitmen, menilai semula semua pelaburan dengan teliti, menangani kelemahan dan meningkatkan tadbir urus  syarikat di bawah Kumpulan LTAT.

Sebagai contoh, Pharmaniaga Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM8.7 juta bagi suku keempat 2025, meningkat daripada RM2.4 juta pada tahun sebelumnya, menandakan lapan suku tahunan berturut-turut yang menguntungkan.

“Pharmaniaga kini berada di landasan yang tepat untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Selain pencapaian kewangan, Mohamed Khaled berkata LTAT telah memperkenalkan Pelan Transformasi Strategik 2026 hingga 2030 (GEMPUR30).

Beliau berkata pelan itu bukan sahaja memacu prestasi pelaburan LTAT, malah menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkukuh industri pertahanan negara di bawah Dasar Industri Pertahanan Negara. – Bernama

Continue Reading

Previous: Ribut petir, angin kencang di Pahang, Johor dan Sarawak hingga 4.00 petang
Next: 13,920 kes tunggakan nafkah diselesaikan sejak 2020 – Marhamah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.