MOMENTUM perubahan landskap pengangkutan udara Sarawak semakin marak dengan pengambilalihan MASwings dan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) baharu.
Kedua-dua inisiatif ini merupakan langkah strategik untuk menjadikan Sarawak sebagai hab penerbangan serantau yang penting menjelang 2030.
Menjelang 2025, syarikat MASwings akan sah menjadi milik kerajaan Sarawak, membolehkan penyusunan laluan dan operasi yang dapat memangkin pertumbuhan jumlah penumpang dan kargo dengan lebih tinggi.
Dengan kawalan penuh ke atas syarikat penerbangan ini, kerajaan Sarawak berpeluang untuk memperluaskan rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa, selain memastikan perkhidmatan yang lebih efisien dan mesra pengguna.
Maka penumpuan terhadap pembangunan LTAK baharu menjadi keutamaan kerana yang ada kini tidak mampu untuk menampung kapasiti penumpang yang saban tahun bertambah.
Perkara ini penting bagi keperluan pada masa hadapan selain dapat menonjolkan imej yang unik sebagai pintu masuk utama ke pulau Borneo.
Bagi memenuhi impian ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan keperluan untuk membina lapangan terbang yang bukan sahaja memenuhi keperluan operasi semasa tetapi juga mempunyai potensi pengembangan jangka panjang dengan sasaran 15 juta penumpang setahun.
Beliau mencadangkan reka bentuk lapangan terbang yang moden dan inovatif seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (LTAH) di Doha.
Sebagaimana yang diketahui, LTAH diiktiraf sebagai lapangan terbang terbaik dunia oleh Skytrax pada 2024, prestasi ini mengatasi lapangan terbang bertaraf dunia lain seperti Lapangan Terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antara Dubai.
Pencapaian LTAH ini yang menjadi inspirasi untuk pembangunan LTAK baharu kerana menonjolkan elemen reka bentuk futuristik yang menggabungkan kemudahan moden dengan ruang luas dan efisien.
Reka bentuk ini tidak hanya meningkatkan aliran penumpang tetapi juga mencipta pengalaman perjalanan yang luar biasa.
Bagi LTAK, kita boleh membayangkan penerapan elemen serupa dengan memperkenalkan seni bina yang mengintegrasikan budaya tempatan seperti seni ukiran bercorak pua kumbu dan hiasan tradisional daripada pelbagai etnik Sarawak yang lain.
Selain itu, jika LTAH yang terletak di padang pasir mampu memiliki “The Orchard,” taman tropika dalaman yang mempamerkan lebih daripada 25,000 tumbuhan dan 300 pokok tropika, maka LTAK yang berada di wilayah kaya dengan khazanah alam semula jadi seharusnya mampu menawarkan lebih daripada itu.
Sebagai sebuah wilayah yang memiliki ekosistem semula jadi yang menakjubkan, LTAK boleh menampilkan ruang hijau dalaman seperti taman tropika yang mencerminkan keindahan alam Sarawak.
Kehebatan LTAH dalam menyediakan kemudahan bertaraf dunia telah menetapkan satu tanda aras yang tinggi.
Namun, hal ini bukanlah penghambat bagi LTAK, malah memberikan peluang kepada Sarawak untuk menampilkan kelebihan tersendiri, terutama dengan asas kukuh dalam budaya meraikan tetamu yang menjadi identiti masyarakat tempatan.
Dengan ini, Sarawak berpotensi untuk menyediakan kemudahan yang bukan sahaja menyamai standard LTAH tetapi lebih baik, dengan memanfaatkan elemen budaya dan keunikan tempatan.
Sebagai inspirasi dan rujukan utama, LTAH terkenal dengan kemudahan bertaraf dunia yang memberikan keselesaan maksimum kepada penumpang.
Contohnya, lounge premium untuk kelas perniagaan dan kelas pertama, spa eksklusif serta hotel transit untuk penumpang transit berehat dengan selesa.
Pendekatan ini boleh dijadikan panduan untuk pembangunan LTAK baharu dengan memperkenalkan lounge khas bertemakan budaya Sarawak.
Lounge ini boleh menawarkan pengalaman unik seperti menawarkan penumpang dengan hidangan tradisional Sarawak, menyediakan ruang pameran seni budaya yang memaparkan identiti lebih 27 kumpulan etnik Sarawak dan kawasan rehat yang mencerminkan keindahan seni bina tempatan.
Sebagaimana LTAH memanfaatkan teknologi canggih dalam mewujudkan proses yang efisien dan mesra pengguna, LTAK baharu juga boleh mengikuti jejak langkah ini dengan mengimplementasikan konsep “Lapangan Terbang 4.0,” iaitu penggunaan sistem pendigitalan operasi secara menyeluruh.
Dengan ada sistem ini, para penumpang akan dapat merasai pengalaman perjalanan yang selesa dan lancar apabila proses imigresen, daftar masuk dan pengendalian bagasi dilakukan dalam automasi penuh dengan penggunaan teknologi biometrik seperti pengecaman wajah untuk mempercepatkan pergerakan penumpang sambil memastikan tahap keselamatan yang tinggi.
LTAH juga terkedepan dalam melaksanakan program kelestarian alam, hal ini terbukti melalui pelbagai inisiatif strategik yang dirancang untuk mengurangkan kesan alam sekitar dan menyokong pembangunan mampan.
Sebagai contoh, lapangan terbang ini komited untuk meningkatkan kecekapan karbon sebanyak 30 peratus menjelang 2030 berbanding tahap 2015, di samping mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui seperti panel fotovoltaik yang mampu menjana ribuan MWh tenaga setiap tahun.
Seiring dengan komitmen Sarawak terhadap pembangunan mampan, LTAK pasti boleh menterjemahkan inspirasi dari LTAH dengan mengintegrasikan sistem tenaga hijau, reka bentuk bangunan cekap tenaga dan teknologi lestari dalam operasinya.
Selain itu, LTAK juga boleh mencontohi LTAH dalam aspek pengurusan keselamatan dan kesihatan kerana LTAK ialah pintu masuk utama ke Sarawak dan wilayah Borneo.
Sebagai sebuah lapangan terbang yang akan menerima penumpang dan kargo dari pelbagai destinasi antarabangsa, pengurusan keselamatan dan kebersihan perlu diberi keutamaan bagi memastikan perlindungan maksimum kepada penumpang, pekerja dan fasiliti.
Misalnya LTAH mengamalkan teknologi pembasmian automatik seperti robot pembersihan dan terowong UV-C untuk memastikan kebersihan terminal yang konsisten.
Teknologi ini bukan sahaja mengurangkan risiko penyebaran penyakit tetapi juga menambah keyakinan penumpang terhadap standard keselamatan lapangan terbang. Jadi perkara ini pastinya boleh diterapkan di LTAK yang baharu kelak.
Tambahan lagi, LTAK perlu bersedia menghadapi ancaman seperti penyeludupan, risiko keselamatan siber atau serangan biologi.
Oleh itu, pelaksanaan sistem keselamatan yang menyeluruh, termasuk pemeriksaan bagasi pintar, teknologi pengawasan berasaskan AI dan sistem tindak balas kecemasan yang pantas adalah amat penting.
Untuk menjadi terbaik, sewajarnya kita mempelajari daripada yang terbaik.
Maka, LTAH adalah contoh yang unggul dan sesuai untuk dijadikan inspirasi dalam pembangunan LTAK yang baharu.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.