
KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak terus mengambil langkah proaktif memperkasakan industri teksi dengan menjalin kerjasama bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan beberapa persatuan teksi tempatan di Kuching.
Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong, berkata mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kelancaran aliran trafik di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) serta memperkukuh semula perkhidmatan teksi dalam menghadapi persaingan hebat daripada platform e-hailing.
“Antara perkembangan utama ialah persetujuan untuk mewujudkan kawasan menunggu khas bagi teksi.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan kesesakan dan melancarkan trafik, di samping menyediakan ruang bersebelahan kepada kenderaan e-hailing bagi memastikan operasi lebih teratur untuk semua pengguna,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya turut menekankan kepentingan menyokong pengusaha teksi sambil memastikan amalan industri kekal adil dan terkawal.
“Kami menyedari masih ramai yang bergantung kepada perkhidmatan teksi untuk urusan harian.
“Oleh itu, kami komited membantu industri ini menyesuaikan diri dan berkembang seiring perubahan dalam sistem pengangkutan moden,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan terhadap semua kenderaan komersial akan diperketatkan, termasuk pematuhan penggunaan meter teksi yang wajib.
“Ketidakpatuhan terhadap penggunaan meter adalah isu berulang.
Justeru, kami mencadangkan agar fungsi pemeteran diintegrasikan ke dalam aplikasi e-hailing mudah alih bagi meningkatkan pematuhan dan dalam masa sama mengurangkan beban kewangan kepada pemandu,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan ini bukan sahaja memodenkan industri tetapi juga meningkatkan ketelusan serta kepercayaan pengguna.
“Walaupun terdapat kebimbangan awal daripada beberapa pengusaha teksi, secara keseluruhannya, inisiatif ini diterima baik.
Kami bersyukur melihat kesediaan pengendali teksi untuk bekerjasama. LPKP Sarawak akan terus menjalin kerjasama erat dengan persatuan di seluruh negeri demi menjamin masa depan industri teksi yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya lagi.
Oleh Connie Chieng