KUCHING: Tangki silinder Gas Petroleum Cecair (LPG) Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) berkemungkinan akan dijual dengan harga yang lebih rendah untuk rakyat Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, harga tong gas ini akan menjadi lebih rendah jika lebih efisien dari segi pengangkutan.
“Saya akan menurunkan harga yang sesuai dengan biaya peruncitan.
“Tapi, buat masa ini, ia akan dijual dengan harga yang sama seperti jenama lain iaitu RM26.60 setiap silinder,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian LPG PETROS di Kubah Ria, semalam.
Beliau menjelaskan bahawa, harga sekarang ditetapkan pada RM26.60 setiap silinder untuk isi rumah kerana silinder LPG disubsidi oleh kerajaan.
“Kos per silinder sebenarnya lebih dari RM50 (per tangki silinder) dengan 50 peratus kos ditanggung oleh kerajaan.
“Kos pengangkutan di luar bandar sudah cukup tinggi, itulah sebabnya harganya tinggi di sana. Sekiranya kos pengangkutan kurang, maka orang ramai masih boleh mendapatkannya dengan harga RM26.60, ”katanya.
Sementara itu, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pelancaran LPG PETROS memenuhi maksud Peraturan Pengedaran Gas 2016, untuk memastikan bekalan gas yang mencukupi, boleh dipercayai, berkualiti, cekap, berpatutan dan selamat untuk pengguna domestik di negeri ini.
Katanya, Kementerian Utiliti (MoU) mengalu-alukan dan akan memudahkan peranan PETROS sebagai pengagregat gas domestik dan pelaksana Pelan Induk Gas Sarawak, yang keduanya memerlukan kerangka peraturan pelbagai sektor.
“Salah satu objektif utama kementerian adalah memastikan LPG bersubsidi benar-benar memberi manfaat kepada pengguna gas yang tepat. Terutama bagi isi rumah di luar bandar yang mana kos pengedaran telah menaikkan harga silinder LPG dan mewujudkan jurang harga bandar luar bandar yang tidak seimbang,” jelasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN / AINI AFIFAH