DALAT: Satu lot bangunan kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran di pasar Dalat, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dalat dihantar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 10.35 pagi.
“Kebakaran melibatkan satu lot bangunan kedai dua tingkat jenis struktur kekal telah terbakar 100 peratus di bahagian atas yang dijadikan tempat tinggal.
“Di bahagian bawah iaitu kedai makan telah terbakar 80 peratus dan kedai runcit di belakang telah terjejas 10 peratus. Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan dan mangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, tindakan pemadaman awal dilakukan oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Dalat dengan menggunakan sumber air terbuka berhampiran sehingga kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.