
SARIKEI: Lorong belakang merupakan sebahagian penting dalam kawasan bandar dan perumahan, kata Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Kaunselor Stephen Wong Kie Yong.
Beliau berkata, lorong tersebut bukan sekadar ruang kosong, sebaliknya direka bentuk sebagai zon penampan keselamatan antara bangunan.
“Namun, banyak lorong belakang pada hari ini menghadapi masalah serius, antaranya pembinaan struktur haram, pembuangan sampah secara tidak sah, serta pencerobohan apabila kedai atau rumah melanjutkan bangunan mereka ke ruang awam dan jalan.”
“Di bawah Ordinan Bangunan Sarawak 1994, setiap pelan bangunan baharu mesti memasukkan ruang untuk lorong belakang atau tanah mesti diperuntukkan untuk tujuan tersebut.
“Jika tidak, kelulusan pembinaan boleh ditolak. Malah, adalah menjadi satu kesalahan untuk sesiapa sahaja membina atau meletakkan struktur di lorong belakang,” katanya pada sidang media di Dewan Mesyuarat MDS, semalam.
Selain itu, katanya, Ordinan Kuasa Tempatan 1996 (Bab 20) memberikan kuasa kepada semua Majlis di Sarawak untuk menguatkuasakan undang-undang kecil berkaitan kebersihan, sanitasi dan keselamatan.
“Beberapa Majlis seperti Majlis Bandaraya Miri, Majlis Perbandaran Padawan dan Majlis Perbandaran Sibu sudah pun mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik hartanah yang menceroboh lorong belakang, dengan denda sehingga RM2,000 malah termasuk perobohan struktur haram.
“MDS juga akan mengambil langkah sama dengan mengingatkan semua pemilik kedai dan rumah agar memastikan lorong belakang yang telah digazetkan sebagai kawasan awam dibersihkan daripada sebarang struktur.
“Secara ringkasnya, lorong belakang adalah hak milik awam. Ia mesti kekal bebas daripada halangan, bersih dan selamat untuk semua orang,” tegasnya.
Tambahnya, tanggungjawab ini bukan sahaja terletak pada pihak majlis tempatan untuk menguatkuasakan undang-undang, tetapi juga pada penduduk dan pemilik kedai untuk menghormati ruang tersebut.
“Dengan memastikan lorong belakang sentiasa bersih dan tidak terhalang, kita melindungi komuniti, kesihatan serta keselamatan bersama,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek