

KUCHING: Dua lelaki cedera dalam kemalangan jalan raya kendiri apabila sebuah lori melanggar sebatang pokok di RH Park, Batu 9, di sini, semalam.
Pusat Gerakan Operasi Sarawak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 10.56 malam, sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa bersama Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) Siburan digerakkan ke lokasi.
Menurut kenyataan, jentera bomba tiba di tempat kejadian pada 11.04 malam, kira-kira lapan kilometer dari balai, dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbabas lalu melanggar sebatang pokok.
Komander Operasi, PBK I Norarbi Jemain memaklumkan, terdapat dua lelaki dewasa mengalami kecederaan namun tidak tersepit.
Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan pengusung sebelum diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut menggunakan jentera EMRS dan ambulans.
Operasi yang melibatkan enam anggota bomba itu tamat sepenuhnya pada 12.32 tengah malam, dengan sokongan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Oleh Shikin Mahmud