

PADAM KEBAKARAN… Anggota bomba memadam kebakaran bahagian tayar lori tangki di Jalan Bulatan, petang semalam. Foto PGO JBPM Sarawak
TANJUNG MANIS: Sebuah lori tangki terbakar 40 peratus di bahagian tayar di Jalan Bulatan pada petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan sekitar 4.08 petang.
“Respons dengan panggilan kecemasan, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Salahudin Mohd Dawood bergegas ke lokasi.
“Sampai di lokasi, didapati kebakaran melibatkan 40 peratus bahagian tayar lori tangki,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kebakaran tidak melibatkan mangsa.
“Pasukan bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula, satu nozel sumber air dari pam jentera sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya.
Oleh Earl Anek