
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyita lori yang dipandu oleh warga asing tanpa lesen memandu sah dalam operasi Ops Gempur Kenderaan Perdagangan di kawasan MJC Batu Kawa, baru-baru ini.
Tindakan tersebut diambil selepas pemeriksaan mendapati pemandu terbabit tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta Lesen Memandu Vokasional (GDL) yang diperlukan untuk mengendalikan kenderaan perdagangan.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Unit Operasi JPJ Kuching yang giat menjalankan rondaan dan pemantauan di sekitar bandar ini bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.
Sehubungan itu, kenderaan terbabit telah disita selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JPJ Sarawak menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, pengusaha dan pemilik kenderaan perdagangan diingatkan supaya memastikan pemandu yang dilantik memiliki lesen memandu yang sah serta berstatus warganegara Malaysia.