
KUCHING: Sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak kelapa sawit terbalik dalam kemalangan kendiri di hadapan Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya, pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 10.31 pagi, sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati sebuah lori tangki terbalik di tepi jalan.
Komander Operasi, PBK II Pandi Seh, memaklumkan bahawa kemalangan hanya melibatkan satu kenderaan dan seorang pemandu lelaki yang mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan.
“Mangsa telah diberi rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Tiada operasi penyelamatan dijalankan memandangkan tumpahan minyak hanya berlaku di kawasan berumput di pinggir jalan dan tidak mengancam keselamatan pengguna jalan raya mahupun orang awam.
“Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan keselamatan sebelum menamatkan operasi pada 11.42 pagi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Agensi lain yang turut berada di lokasi kejadian termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan sebuah ambulans serta kakitangan Kuching Urban Transportation System (KUTS).
Oleh Masrin Affirah