

MUSNAH…. Sebuah lori membawa muatan cecair kimia tidak dikenal pasti musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku berdekatan Vista Perdana, Jalan Miri Bypass, malam tadi.
MIRI: Sebuah lori membawa muatan cecair kimia tidak dikenal pasti musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku berdekatan Vista Perdana, Jalan Miri Bypass, malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), panggilan kecemasan diterima pada 11.16 malam sebelum dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng serta BBP Miri Sentral digerakkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK II TBBK I Irwandy Abdul Rahman, memaklumkan bahawa kebakaran melibatkan keseluruhan lori dengan kemusnahan dianggarkan 100 peratus.
Walaupun tiada mangsa dilaporkan, bahan kimia yang terlibat didapati bersifat menghakis, menyebabkan kerosakan pada kasut beberapa anggota bomba semasa operasi pemadaman dijalankan.
“Pemandu lori gagal memberikan maklumat tepat mengenai jenis bahan kimia yang dibawa kerana dokumen pengangkutan (manifest kimia) telah musnah dalam kebakaran,” katanya.


PASUKAN Hazmat seramai 10 anggota diketuai oleh PBK II (TBBK I) Shukri Abdullah tiba di lokasi pada 6.10 pagi dan menjalankan pemeriksaan lanjut. Bacaan pH yang diambil menunjukkan kepekatan asid pada tahap pH 2, menandakan bahan tersebut bersifat asid kuat, ujarnya lagi.
Beliau berkata, pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) penuh dan melaksanakan pemadaman dari jarak selamat menggunakan pancutan air dan buih, kawasan kejadian turut dikawal bagi memastikan keselamatan awam.
“Pihak Pegawai Gerakan Operasi (PGO) turut menghubungi Advisor Pasukan Hazmat, TPgB II Ts. Mohamad Maramit, untuk mendapatkan nasihat teknikal serta mengarahkan Pasukan Hazmat dari BBP Bintulu ke lokasi kejadian,” katanya.
Katanya, pasukan Hazmat seramai 10 anggota diketuai oleh PBK II (TBBK I) Shukri Abdullah tiba di lokasi pada 6.10 pagi dan menjalankan pemeriksaan lanjut. Bacaan pH yang diambil menunjukkan kepekatan asid pada tahap pH 2, menandakan bahan tersebut bersifat asid kuat.
Tambahnya, tindakan seterusnya melibatkan pancutan air bagi pencairan dan peneutralan bahan kimia, sebelum Pasukan Hazmat melaksanakan proses penyahcemaran untuk memastikan kawasan benar-benar selamat.
Operasi disertai 27 anggota dengan kekuatan 2 jentera FRT, 1 CFRT, 1 EMRS, 1 HAZMAT dan 1 DECON, dan ditamatkan sepenuhnya pada 7.05 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan stabil.
JBPM menasihatkan orang awam agar menjauhkan diri dari kawasan kejadian seumpama ini dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku tumpahan atau kebakaran bahan kimia, tegasnya.
Oleh Adum Liu