
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa banyak lori bantuan yang baru-baru ini dibenarkan masuk ke Gaza dirampas muatannya oleh penduduk yang terdesak dan kelaparan, lapor agensi berita Xinhua pada Jumaat.
Jurucakap Timbalan Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq berkata pihaknya menghantar sekitar 100 buah lori sarat muatan ke Kerem Shalom (Karem Abu Salem) dan berjaya membawa kira-kira 35 lori dari bahagian Palestin di sempadan itu untuk dihantar di kawasan yang memerlukan di Gaza.
“Pada Rabu, enam lori membawa tepung dipintas oleh penduduk dan muatannya dibawa keluar. Pada malam Khamis pula, 15 lori mengalami nasib yang sama.
“Setakat yang kami faham, kejadian ini bukanlah jenayah terancang, tetapi tindakan yang didorong rasa lapar dan keputusasaan,” katanya.
Beliau berkata agensi kemanusiaan PBB sedang berusaha membina semula kepercayaan dengan komuniti tempatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Namun, cara terbaik untuk mengelakkan rampasan ialah dengan menyalurkan lebih banyak bantuan agar penduduk tidak berada dalam keadaan terlalu terdesak, katanya.
Dalam pertemuan dengan wartawan, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres turut menyuarakan kebimbangan, dengan menyatakan bahawa hanya sejumlah kecil bantuan berjaya menyeberangi sempadan Gaza selepas hampir 80 hari bantuan disekat oleh Israel.
Hampir 400 buah lori mendapat kelulusan untuk memasuki Gaza melalui satu-satunya laluan yang beroperasi dalam beberapa hari lalu, namun hanya kira-kira 115 daripadanya berjaya dihantar, dan tiada satu pun sampai ke kawasan utara yang dikepung, kata Guterres.
“Segala bantuan yang diluluskan setakat ini hanyalah setitis air tatkala Gaza memerlukan limpahan bantuan.
“Keperluannya sangat besar, tetapi halangannya amat membebankan. Barangan yang diagihkan dikenakan kuota ketat serta prosedur menyusahkan yang tidak perlu,” katanya.
Menurut Guterres, bekalan penting lain seperti bahan api, khemah, gas memasak dan alat penapis air turut dilarang masuk.
“Kami terus memohon langkah keselamatan dan mitigasi risiko untuk konvoi kami,” katanya.
Farhan Haq berkata, Program Makanan Sedunia (WFP) turut merayu kepada pihak berkuasa Israel agar membenarkan lebih banyak bantuan memasuki Gaza dengan lebih pantas, konsisten dan laluan yang lebih selamat.
Beliau berkata, bekalan dari luar Gaza lazimnya hanya sampai ke lintasan sempadan selepas satu atau dua hari berikutan pemeriksaan yang rumit dan memakan masa.
“Saiz muatan tidak seragam. Di dalam Gaza, pasukan kami akan menyusun satu lapisan tambahan palet bagi memaksimumkan ruang lori,” katanya, sambil memaklumkan bahawa penghantaran pada Khamis merangkumi tepung, makanan berkhasiat dan bekalan perubatan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pasukan PBB di Gaza melaporkan bantuan yang sedikit itu sudah pun sampai kepada penduduk yang memerlukan.
Beberapa buah kedai roti berjaya beroperasi pada Khamis hasil bantuan tepung dan bahan api daripada PBB.
“Sementara itu, sebuah hospital medan di selatan Gaza turut menerima bekalan perubatan yang amat diperlukan minggu ini.”
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa peningkatan serangan di Gaza mengakibatkan sistem kesihatan yang sedia lemah ke ambang kehancuran.
WHO merujuk kepada serangan pada Khamis terhadap Hospital Al Awda di Gaza Utara, yang menyebabkan khemah triage, termasuk satu disediakan WHO terbakar, sekali gus memusnahkan semua bekalan perubatan dan beberapa kenderaan di tingkat bawah tanah.
Cubaan WHO untuk memasuki hospital itu dihalang, manakala sumber dari hospital melaporkan kebakaran masih belum dipadam sepenuhnya pada pagi Jumaat.
WHO berkata empat peratus daripada hampir 700 serangan ke atas fasiliti kesihatan di Gaza sejak Oktober 2023 berlaku dalam tempoh minggu lalu sahaja.
Kini, sekurang-kurangnya 94 peratus hospital di Gaza telah rosak atau musnah, dengan separuh daripadanya tidak lagi beroperasi.
Agensi itu memaklumkan bahawa empat hospital utama — Hospital Kamal Adwan, Hospital Indonesia, Hospital Hamad untuk Rehabilitasi dan Prostetik, serta Hospital Gaza Eropah — terpaksa menghentikan perkhidmatan dalam seminggu lalu akibat serangan atau berada dalam zon pemindahan.– Bernama-Xinhua