
SELANGAU: Lori balak bersama treler musnah dalam kebakaran di Batu 62 Sepiring, Lebuh Raya Pan Borneo Bintulu–Sibu pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 11.25 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan lori balak bersama treler yang sedang terbakar di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, selepas penilaian awal dilakukan, pasukan operasi dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap telah menjalankan kerja pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula, dua muncung (nozzle) dan air dari tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Tarani Lanting