Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • LoongAir lancar penerbangan terus Shenzhen–Kuching
  • SEMASA

LoongAir lancar penerbangan terus Shenzhen–Kuching

Utusan Sarawak 8 hours ago
KETIBAAN sulung penerbangan terus LoongAir dari Shenzhen disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini, dengan delegasi rasmi dan penari budaya Sarawak bergambar bersama di hadapan pesawat sebagai simbol permulaan hubungan baharu antara kedua-dua destinasi.

KUCHING: Hubungan udara antara Sarawak dan China melakar sejarah baharu apabila syarikat penerbangan LoongAir memulakan penerbangan terus sulung dari Shenzhen ke Kuching hari ini, sekali gus membuka laluan baharu bagi sektor pelancongan, perdagangan dan kerjasama dua hala.

Pesawat GJ8055 berlepas dari Shenzhen pada 8.20 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 12.50 tengah hari dengan membawa 85 penumpang.

Penerbangan pulang, GJ8056, dijadualkan berlepas pada 7.55 malam dengan 171 penumpang dan tiba di Shenzhen pada 12.05 tengah malam.

Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan, Datu Wong Hee Sieng, berkata penerbangan ini akan beroperasi setiap Selasa sebagai penerbangan berjadual sewa khas.

KETIBAAN sulung penerbangan terus LoongAir dari Shenzhen disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini, dengan delegasi rasmi dan penari budaya Sarawak bergambar bersama di hadapan pesawat sebagai simbol permulaan hubungan baharu antara kedua-dua destinasi.

“Ini perkembangan sangat positif bagi meningkatkan kesalinghubungan kita dengan China. Penerbangan terus ini menjadikan perjalanan lebih mudah tanpa perlu transit di Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu,” katanya pada majlis ketibaan pesawat LoongAir di Kuching.

Beliau turut mendedahkan lebih banyak laluan dijangka menyusul, termasuk destinasi baharu LoongAir ke Hangzhou dan Guangzhou yang dijangka beroperasi pada Mac tahun depan.


“Dengan pertambahan penerbangan ini, kita berharap Lembaga Pelancongan Sarawak serta MOTAC dapat mempromosikan laluan ini secara agresif di China. Lebih ramai pelancong datang bermakna manfaat ekonomi yang besar khususnya kepada sektor pelancongan dan perniagaan di Kuching,” ujarnya.

Sementara itu, Konsul Jeneral China di Kuching, Xing Weiping, merakamkan penghargaan dan ucapan selamat datang kepada penumpang penerbangan sulung dari Shenzhen.

DATU Wong Hee Sieng bergambar bersama tetamu kehormat pada sesi penyerahan cenderamata berupa model pesawat LoongAir sempena penerbangan sulung Shenzhen–Kuching, di sini, hari ini.

“Shenzhen merupakan salah satu bandar paling makmur dan inovatif di China serta menjadi nadi pembangunan ekonomi di Greater Bay Area yang turut merangkumi Hong Kong dan Macau. Syarikat terkenal seperti Huawei, Tencent dan DJI berasal dari Shenzhen,” katanya.

Menurut beliau, penerbangan terus ini bukan sahaja menghubungkan dua bandar tetapi juga mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua wilayah.


“Penerbangan ini adalah jambatan baharu antara Shenzhen dan Kuching. Ia akan memudahkan perjalanan rakyat Sarawak ke Shenzhen, dan saya percaya lebih banyak syarikat penerbangan China akan berminat untuk beroperasi di sini,” katanya.

Xing menambah, hubungan erat antara China dan Malaysia serta pelaksanaan kemudahan visa telah menyumbang kepada peningkatan ketara kemasukan pelancong China. Tahun ini, jumlah pelancong dari negara itu dijangka melebihi lima juta orang.


“Penerbangan LoongAir Shenzhen–Kuching akan terus menggalakkan pertukaran antara Sarawak dan China, khususnya wilayah Guangdong,” jelasnya.

Beliau turut menekankan perkembangan pesat sektor teknologi tinggi di Shenzhen serta pemilihannya sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin APEC pada November tahun depan sebagai bukti potensi ekonomi bandar tersebut.


“Ini adalah peluang besar untuk China dan Sarawak. Kita menantikan hubungan ekonomi, kebudayaan dan pelancongan yang lebih kukuh,” katanya.

Oleh Norman B.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: AirBorneo umum pelancaran laman web, pusat panggilan dan peralihan tiket MASwings 
Next: Air bakal jadi komoditi industri bernilai tinggi – Premier Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.