MIRI: Sikap segelintir individu yang membuang sampah sesuka hati di kawasan larangan di Pusat Komersial Centre Point di sini menimbulkan kebimbangan apabila keadaan itu turut mengundang kehadiran tikus yang berkumpul mencari makanan di sekitar longgokan sampah.
Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati beberapa ekor tikus berkeliaran dan berkumpul mencari sisa makanan di celah longgokan sampah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek kebersihan serta kesihatan awam.
Beberapa beg sampah domestik, kotak terpakai dan pelbagai sisa buangan turut dikesan ditinggalkan di tepi sebuah substesen Sarawak Energy, walaupun kawasan berkenaan bukan lokasi pembuangan sampah yang dibenarkan.
Kehadiran tikus yang mencari makanan di kawasan tersebut dipercayai didorong oleh sisa makanan yang dibuang bersama sampah dan dibiarkan terdedah.
Keadaan itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan dan menimbulkan bau kurang menyenangkan, malah berpotensi menjadi tempat pembiakan tikus, lalat serta haiwan perosak lain yang boleh membawa penyakit.
Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali Yong, berkata, keadaan itu membimbangkan terutama kerana Centre Point merupakan kawasan komersial yang mempunyai premis perniagaan dan sering dikunjungi orang ramai.
“Apabila sampah dan sisa makanan dibuang begitu sahaja, memang mudah menarik tikus datang mencari makanan. Jika dibiarkan, jumlah tikus mungkin bertambah dan keadaan menjadi lebih serius.
“Kita berharap semua pihak lebih bertanggungjawab dan membuang sampah di tempat yang disediakan, bukannya meninggalkan sampah sesuka hati,” katanya.
Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan digesa mempertingkatkan pemantauan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melakukan pembuangan sampah secara haram bagi memastikan kebersihan Pusat Komersial Centre Point terus terpelihara, selamat dan bebas daripada masalah haiwan perosak.
Oleh Liong Chai Ling




