KUCHING: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) merayu peraturan imigresen di negeri ini dilonggarkan bagi membolehkan doktor dari Semenanjung bekerja di hospital swasta.
Presidennya, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, ia untuk meningkatkan tahap teknologi tinggi dan menggalakkan penyampaian penjagaan kesihatan termaju di Sarawak yang akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini serta hospital swasta.
“Saya yakin perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut walaupun pada masa ini dilakukan dengan sekatan yang ketat.
“Sudah tiba masanya kita harus bekerjasama secara terbuka sebagai satu pasukan antara penjagaan kesihatan awam dan swasta untuk mengurangkan beban rakyat. Kami telah melakukan dengan cukup baik semasa pandemik dan pasca pandemik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Rangkaian APHM di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Dr Kuljit berkata, pelancongan perubatan di Sarawak akan berkembang pesat dan mungkin akan berada pada tahap lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang apabila ibu negara baharu Indonesia berpindah ke Nusantara di Kalimantan Timur, Borneo.
“APHM melihat potensi ini dan akan menjadi penjana pendapatan kepada Sarawak. Saya pasti pelancongan perubatan akan menjadi tumpuan utama.
“Kami berharap sekiranya tiada ‘anak Sarawak’ tersedia untuk jenis pakar tertentu, pakar dari Semenanjung boleh dibenarkan bekerja di pusat perubatan swasta dengan beberapa syarat khas.
“Saya pasti perkara ini boleh dibincangkan untuk melonggarkan lagi (peraturan imigresen) walaupun ia dilakukan pada masa ini tetapi (masih) dengan sekatan yang ketat,” katanya.
Beliau turut merayu kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk menyegerakan kelulusan pakar awam untuk berlatih di hospital swasta.
“Tetapi kami faham bahawa penyampaian penjagaan kesihatan awam tidak boleh dikompromi. Jika kami mempunyai lebih ramai pakar awam yang bekerja di swasta dan pakar dari Semenanjung yang terpaksa bekerja dalam penjagaan kesihatan swasta di Sarawak. Kami yakin Sarawak akan menjadi hab untuk rawatan perubatan di Borneo.
“Baru-baru ini saya dimaklumkan pelancong perubatan hanya dibenarkan visa 14 hari dan kami berpendapat bahawa visa 30 hari akan berguna untuk rawatan lengkap. Ini akan mengelakkan kebimbangan yang tidak perlu kepada pelancong perubatan kami apabila kadangkala tempoh 14 hari terlalu singkat.
“Walaupun ia boleh dilanjutkan tetapi ia menyebabkan banyak kesulitan dan tekanan kepada pesakit dan hospital. Kami berharap perkara ini dapat diteliti,” katanya.