APABILA anda berbaris memperuntukkan masa pada hujung minggu atau waktu yang sepatutnya mempunyai komitmen lain bersama keluarga atau urusan penting lainnya, akan tetapi anda tetap juga bertekad untuk turun mengundi. Ketika itu, musim cuaca panas, mungkin juga hari hujan. Kalau redup sekali pun, anda mengambil sejumlah masa untuk berbaris panjang untuk menunaikan tanggungjawab anda sebagai pengundi.
Memang mengundi pada pilihan raya lazimnya lima tahun sekali. Dalam konteks Sarawak terdapat sebanyak dua kali kerana satu untuk pilihan raya negeri bagi memilih wakil rakyat Dewan Undang Negeri (DUN) manakala satu lagi bagi memilih ahli parlimen di Dewan Rakyat. Sudah pasti kita sebagai pengundi mengharapkan wakil rakyat yang dipilih menang dan apabila menang dapat memberikan perkhidmatan kepada penduduk kawasan. Namun apabila calon yang kita pilih terutama kita lebih memilih parti, kemudian calonnya tiba-tiba yang menang tersebut pilih melompat ke parti lain, sudah pasti ia amat mengecewakan harapan kita sebagai pengundi.
Naungan parti
Rakyat di negara kita masih lagi memilih parti dan yakin pada sesuatu parti yang dilihat berdasarkan rekod cemerlang, pengalaman dan prinsip perjuangan parti tersebut. Apabila wakil rakyat melompat parti, sudah pasti sangat sukar untuk dimaafkan kerana telah mensia-siakan undi yang telah diberikan dan mengkhianati kepercayaan yang diberikan. Tidak ada sesiapapun mahu dikhianati lebih-lebih lagi sesudah berjanji dalam manifesto, berjanji dalam kempen-kempen politik dan banyak lagi janji ketika dalam parti.
Wakil rakyat yang melompat parti ini sanggup melupakan parti yang menjadi tempatnya dicalonkan. Parti memutuskan mencalonkan berdasarkan senarai calon-calon yang ada. Jika diketahui akan melompat parti dan berkhianat, sudah pasti ramai lagi yang setia kepada parti akan dicalonkan. Watikah pencalonan ialah daripada presiden parti atau pengerusi gabungan blok parti. Bukan mudah hendak mendapat watikah pencalonan yang kriterianya perluk memenuhi cita rasa dan keperluan dan idealisme parti yang mencalonkannya.
Yang melompat parti juga ialah individu yang tidak berterima kasih dan tidak bertanggungjawab. Hal ini kerana partilah yang membiayai calon itu bertanding dalam pilihan raya. Kempen yang digerakkan menggunakan dana parti. Jika calon wakil rakyat itu mendapat derma politik luar sekali pun, ia tetap atas ihsan bertanding atas nama dan logo parti. Tidak ada sesesiapa yang hendak menaja atau membiayai jika tidak menggunakan logo lain, lebih-lebih lagi parti tersebut bukanlah pilihan ramai dan bukan parti arus perdana yang mempunyai rekod cemerlang dalam memperoleh kemenangan di kawasan tersebut
Dana parti
Apabila parti memainkan peranan dalam mencari dana dan mengeluarkan dana untuk kempen sudah pasti parti mahu usaha dan pengorbanan parti dihargai. Terdapat persediaan rapi yang diaturkan oleh parti seperti merancang kempen, memastikan struktur parti kukuh di kawasan ranting, cawangan dan bahagian, sentiasa berkomunikasi dan berinteraksi dengan ahli-ahli di setiap pusat daerah mengundi, mengenal pasti secara menyeluruh pengundi putih, melancarkan kempen di pelbagai peringkat dan lapisan yang ada untuk menembusi dan memastikan kemenangan calon di sesebuah kawasan.
Kesemua ini memerlukan penyelarasan, peranan pelbagai pihak dalam jentera dan kepimpinan parti di pelbagai peringkat dan peranan presiden parti dan kepimpinan parti amat penting dalam merancang, memantau dan mengemukakan strategi terbaik. Aspek ini tidak termasuk memastikan jaringan-jaringan dan sumber-sumber luar membantu atas dasar memberikan sumbangan kepada parti. Kesemua aspek ini tidak akan disediakan dan diberikan kepada calon bukan bertanding dalam parti tersebut. Inilah pengorbanan parti terhadap calon mereka yang bertanding dan tidak termasuk ketika parti membantu mendidik, membina bakat dalam kepimpinan ketika calon tersebut baru menyertai parti tersebut. Sudah tentulah kemarahan parti dapat difahami dengan jelas apabila wakil rakyat mereka tiba-tiba melompat parti.
Tidak Peka
Parti yang menerima lompat parti dilihat mengambil jalan pintas, sanggup menguriskan hati parti asal, sanggup menerima untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa politik yang lebih besar bagi melakukan tawar-menawar politik dan memastikan parti mereka bertambah kuat. Penerima lompat parti pula tanpa rasa bersalah menganggap sebagai kebebasan berparti politik kerana parti mereka belum lagi berpengalaman ditinggalkan oleh wakil rakyat. Dalam kerajaan Perikatan Nasional sekarang sudah ada sehingga 39 wakil rakyat yang melompat parti dan ini menggambarkan gambaran yang serius, tidak sihat dan perlu tindakan tegas semua.
Kelompok tersebut perlu diberikan pengajaran yang besar kepada mereka agar wakil rakyat lain atau orang politik lain tidak akan mengulang pengkhianatan tersebut. Pengkhianatan tersebut bukan sesuatu yang baru, dalam politik negeri Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan negeri lain juga berlaku. Maka, sudah tiba masanya untuk mengakhiri peristiwa hitam dalam dunia demokrasi negara. Jika, tidak ia terus subur dan mewabak dan menjadi kudis besar dalam politik negara.
Tindakan tegas
Wakil rakyat yang bertindak melompat parti seharusnya diambil tindakan dengan mengosongkan kerusi dimenangi mereka dalam pilihan raya.Tindakan itu bagi memberi pengajaran dan membela rakyat selepas dikhianati ahli politik terbabit. Apabila sebuah parti itu mereka mempunyai kuasa mencalonkan wakil rakyat, dan wakil rakyat itu dapat dari mandat rakyat. Apabila mereka melompat mereka seolah-olah lupa, tiket pencalonan yang mereka menang adalah tiket parti asal.
Justeru, kemenangan itu atas kejayaan pengundi memilih parti, jadi wakil rakyat tidak boleh anggap itu kebebasannya kerana mandat itu adalah mandat daripada pengundi. Kalau difahami istilah dasar, iaitu wakil rakyat, ia bermakna ia sekadar wakil kepada pengundi, tidak boleh lebih-lebih mengakui lebih besar daripada itu. Peranan wakil kepada rakyat bermakna ia menjadi suara kepada pengundi, dan perlu mengikut kehendak pengundi majoriti yang memilih beliau ketika pilihan raya. Langkah mengkhianti pengundi ialah langkah tidak akur kepada kehendak pengundi dan langkah bertentangan dengan suara pengundi perlu ditolak.
Kosongkan kerusi
Seseorang wakil rakyat kawasan itu sewajarnya mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada pilihan raya baharu diadakan. Langkah ini merupakan satu tindakan yang dikatakan bersesuaian dan memberi pengajaran kepada penyandang kerusi Parlimen berkenaan. Ada rasionalnya, wakil rakyat lompat parti perlu mengosongkan kerusi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan. Di sinilah populariti wakil rakyat itu diuji, sama ada mampu menang dengan parti baharu, atau sebagai bebas mahu pun akan tewas. Sudah pasti peluang kalah teruk, diajar oleh pengundi dengan tidak diundi akan berlaku. Sebab itu, ramai yang lompat parti sangat bimbang Rang Undang-Undang Antilompat tidak begitu bersemangat dalam penggubalan undang-undang sedemikian. Sudah beberapa kali ditangguhkan sama ada secara sengaja atau sebaliknya hanya mereka lebih mengetahui.
Dengan adanya RUU Antilompat itu nanti maka seorang wakil rakyat tidak boleh menyalahi, melanggar dan mengkhianati amanat pengundi dan di sinilah terdapat keperluan melakukan Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 dan perbincangan secara akademik dan rasional perlu diperhebatkan dalam memahami pindaan itu dilakukan. Meskipun terdapat pandangan yang dilihat menentang pindaan itu dibuat, namun kerajaan perlu melihat pandangan majoriti yang mahukan tindakan melompat parti itu dihentikan di negara ini.
Perlulah difahami bahawa amalan demokrasi sihat akan mempertahankan suara majoriti, apabila sesuatu pandangan itu adalah pandangan pinggiran yang mereka melompat parti itu sendiri atau terkeluar daripada pakatan itu sendiri, mungkin pandangan itu berlainan, akan tetapi ia perlu dibahaskan, dihalusi, diraikan juga, supaya mendapat hujah lebih rasional dan tidak bertentangan dengan kemahuan rakyat yang terbanyak. Namun apa-apa keputusan haruslah keputusan daripada suara majoriti kerana terpulanglah kepada 222 Ahli Parlimen yang ada pada masa kini.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)