Lokman Awaluddin bukan seorang tukang kayu, namun desakan hidup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan beliau cekal untuk menceburi bidang pembuatan perabot.
Sepanjang tempoh PKP itu, beliau tidak dapat meneruskan perniagaan pembersihan rumah dan mencuci kereta yang dimulakan sekitar tahun 2019.
Beliau tidaklah duduk diam menangisi nasib, sebaliknya mencari peluang untuk kelangsungan hidup, bukan sahaja untuk menyara isteri dan keluarga, tetapi juga untuk membayar gaji tujuh orang pekerjanya meskipun mereka tidak bekerja akibat PKP.
“Saya banyak melayari laman Youtube sehingga timbul minat untuk menceburi bidang pembuatan perabot berasaskan kayu dan besi.
“Mula-mula saya mencuba sebagai suka-suka sahaja, ” kata Lokman, 27, kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, selepas melihat beberapa video mengenai proses dan teknik membuat perabot berasaskan kayu palet, beliau berbincang dengan isterinya, Siti Faznur Abd Khaleq, 32, bagaimana untuk menghasilkan pendapatan dengan cara norma baharu tanpa menimbulkan risiko dijangkiti dan menjangkiti virus COVID-19.
Kedua-duanya sepakat untuk mencuba menghasilkan perabot dan produk pertama mereka adalah sebuah meja kayu kecil khusus untuk bilik tidur yang dinamakan sebagai ‘rabas’ , berdasarkan bahasa tempatan, suku kaum Dusun.
Lokman mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkan meja tersebut dan beliau hanya menggunakan gergaji, empat batang kayu palet yang diperolehi dari sebuah kilang di Inanam dan besi.
BRUTTI & BESI
Untuk menghasilkan produk pertama itu, Lokman dan isterinya mencari kayu palet di Inanam kerana kawasan tersebut terkenal sebagai kawasan perindustrian.
Memandangkan hanya sebagai percubaan, kami dapat empat batang kayu palet itu secara percuma.
“Saya memang tiada pengalaman apatah lagi mendapat latihan formal untuk bertukang kerana sebelum menguruskan dua perniagaan sendiri, saya juga menguruskan perniagaan inap desa dan isteri saya menguruskan jualan Tupperware milik keluarganya,” katanya, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Agama .
Namun selepas mendirikan rumahtangga pada Februari 2020, Lokman yang berasal dari Putatan berkata beliau mahu meneroka bidang perniagaan bersama isterinya, berbekalkan pengalaman masing-masing.
Meskipun hasil produk pertama itu tidak seperti yang dibayangkan isterinya kerana bentuk dan susunan permukaan meja itu tidak kemas namun, beliau yakin untuk menghasilkan produk yang lebih cantik dan timbullah idea untuk menamakan produk keluaran mereka sebagai “Brutti & Besi” pada Oktober lepas.
“Nama “Brutti” itu kami pilih kerana sinonim dengan nama kayu cuma ada dua huruf ‘t’ bagi menampakkan lebih eksklusif lagi,” kata Lokman, sambil menambah tarikh 11 November lalu, genap sebulan mereka mengusahakan perabot Brutti & Besi.
Sepanjang tempoh itu, mereka berjaya menyiapkan sebanyak 12 unit produk hasil daripada permintaan pelanggan yang dijual pada harga antara RM37 hingga RM827.
NAMA PRODUK BERASASKAN BAHASA TEMPATAN
Bercerita lanjut, Lokman berkata beliau hanya menggunakan modal untuk membeli mesin pemotong besi berharga RM230 dan dengan pemotong itulah dia bersama dua pembantu termasuk abang iparnya berjaya menghasilkan produk antaranya meja makan, rak kasut, meja belajar dan rak pasu bunga.
Paling istimewa, setiap produk yang dihasilkan akan diberi nama bersesuaian seperti nama pelanggan atau nama berdasarkan bahasa tempatan.
Beliau memberi contoh, seperti meja makan yang diletakkan nama “Dangsanak”, rak kasut (pamanahon), rak pasu (bungadau), rak perhiasan pasu (timbua),meja kopi (piulungan), dan rak baju terbuka (open concept closet) yang dinamakan “Anna”.
Sementara itu, Siti Faznur merangkap pembantu yang menguruskan jualan dan menerima tempahan pelanggan berkata, ketika ini, proses pembuatan semua produk itu dijalankan di belakang rumah yang mereka diami di Penampang.
Pada masa ini pelanggan Brutti & Besi datang dari sekitar daerah Kota Kinabalu dan Penampang kerana pelanggan perlu datang mengambil produk yang siap disebabkan mereka tidak menyediakan perkhidmatan penghantaran.
“Ada juga tempahan yang diterima dari jauh seperti Tawau malah dari Klang juga ada tetapi kekangan perjalanan untuk pengangkutan ketika ini selain kos memang tidak berbaloi untuk pelanggan bayar,” katanya.
TEMPAHAN DALAM FACEBOOK
Buat masa ini, tempahan dibuat menerusi laman Facebook Brutti & Besi atau menerusi Whatsapp dan setiap produk yang dihasilkan adalah mengikut cita rasa, berdasarkan bentuk dan saiz permintaan pelanggan.
Kos bagi setiap produk adalah berbeza kerana ia bergantung kepada saiz yang dikehendaki oleh pelanggan dan setakat ini pelanggan amat berpuas hati dengan hasil kerja tangan daripada Brutti & Besi.
Menurut Siti Faznur, abangnya Mohd Ghaddafi Abd Khaleq, 42, yang mempunyai pengalaman hampir lima tahun dalam pertukangan kayu palet turut membantu suaminya untuk memotong dan mencantikkan produk yang dihasilkan.
”Tempoh untuk menyiapkan produk bergantung kepada saiz. Kalau yang kecil, dalam sehari atau dua hari boleh siap dan kalau saiz besar akan memakan masa juga.
“Kami akan sentiasa maklumkan kepada pelanggan supaya mereka tahu perkembangan produk mereka yang sedang kami hasilkan, tambahan ketika ini agak sukar mendapatkan bekalan kayu palet, ” katanya.
–BERNAMA