SARATOK: Lokasi penempatan sementara bagi penjaja yang terjejas akibat pembinaan Tebingan di Sungai Krian (Waterfront) akan disediakan di sebelah Bangunan Perpustakaan Awam Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Sesi Libat Urus Projek Bina Baharu Pusat Penjaja Daerah Saratok bagi memuktamadkan pertapakan penempatan penjaja yang terlibat.
Menurut beliau, penyediaan lokasi sementara itu penting bagi memastikan aktiviti perniagaan dan urus niaga harian para penjaja dapat diteruskan sepanjang tempoh pembinaan projek Waterfront di Tebingan Sungai Krian.
“Bagi melancarkan aktiviti perniagaan penjaja semasa pembinaan Waterfront di Tebingan Sungai Krian, lokasi sementara telah dibincangkan pada sesi libat urus tersebut.
“Langkah ini bagi memastikan aktiviti serta urus niaga harian di kawasan lokasi sementara dan Tebingan Sungai Krian tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Libat Urus Projek Bina Baharu Pusat Penjaja Daerah Saratok yang dipengerusikan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid, di Bilik Mesyuarat Perpustakaan Awam Majlis Daerah Saratok, semalam.
Mohamad Duri berkata, lokasi sementara yang akan disediakan oleh Majlis Daerah Saratok (MDS) di sebelah Bangunan Perpustakaan Awam Saratok dijangka dapat memudahkan para peniaga meneruskan operasi perniagaan mereka.
Katanya, pendekatan berkenaan turut mengambil kira kepentingan penjaja supaya kelangsungan sumber pendapatan mereka tidak terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan projek pembangunan berkenaan.
Sesi libat urus itu turut dihadiri Setiausaha Majlis Daerah Saratok, McCrea Joseph Perrerra; Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok, Johan Rahman; Pemanca Thomas Lamit; Pemanca Lim Guan Ann; Pengerusi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Saratok, Rejenah Sepawi serta Ahli-Ahli Majlis Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman





