
KUCHING: Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) mencatat satu lagi pencapaian penting apabila Sarawak Metro Sdn Bhd menganugerahkan kontrak kepada Linde EOX Sdn Bhd bagi kerja pemindahan serta naik taraf loji pengeluaran hidrogen dan stesen pengisian semula milik Sarawak Energy Bhd.
Loji hidrogen tersebut akan dipindahkan dari Bintawa ke Depoh Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Rembus, Kota Samarahan.
Sarawak Metro menerima Surat Setuju Terima (LOA) yang telah ditandatangani daripada Linde EOX bagi pelaksanaan kerja pemindahan dan naik taraf loji pengeluaran serta stesen pengisian semula hidrogen itu, di bawah Fasa 1 strategi pengeluaran hidrogen bagi projek KUTS.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa hadir menerima LOA berkenaan daripada Pengarah Urusan Linde EOX, Hoo Peih Yoke di pejabat korporat Sarawak Metro.
Kontrak reka bentuk dan bina itu bernilai RM58 juta dan dijangka siap mengikut jadual bagi membolehkan operasi projek KUTS bermula pada suku keempat 2026.
Apabila siap sepenuhnya dan dinaik taraf, loji tersebut berkeupayaan menghasilkan kira-kira satu tan hidrogen hijau.
Turut hadir menyaksikan penyerahan LOA berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datu Wong Hee Sieng serta wakil Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri, Mohamad Kamil Asyraf Mohamad Samuri.