
KUCHING: Program berfokuskan belia seperti Pertandingan Tarian ‘K-Pop Be A Star’ 2025 memainkan peranan penting dalam membina keyakinan diri, disiplin dan keupayaan ekspresi dalam kalangan golongan muda, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Junior Chamber International (JCI) Damai serta jawatankuasa penganjur atas dedikasi dan usaha mereka dalam menjayakan acara berkenaan.
“Pertandingan ini bukan sekadar persembahan tarian semata-mata, sebaliknya menjadi platform bernilai untuk bakat muda berkembang, membina keyakinan serta mengekspresikan diri melalui seni persembahan.
“Keberanian anda semua untuk tampil ke pentas hari ini sudah membuktikan keyakinan yang tinggi. Tarian bukan hanya mengenai teknik, tetapi juga disiplin, kerja berpasukan dan pembinaan keyakinan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Tarian ‘K-Pop Be A Star’ 2025 yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Beliau menggalakkan para peserta agar terus berdisiplin, menikmati perjalanan mereka dan sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diminati.
Jelasnya, kemenangan bukan satu satunya ukuran kejayaan, sebaliknya pengalaman yang diperoleh, keyakinan yang dibina dan kenangan yang tercipta adalah perkara yang paling bermakna.
Beliau mengakhiri ucapan dengan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara tersebut serta menggalakkan para peserta supaya saling menyokong dan menikmati detik berkenaan.
Oleh Connie Chieng