
SIBU: Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD) memperuntukkan sebanyak RM105,000 bagi pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah yang bakal tiba tidak lama lagi.
Peruntukan tersebut akan disalurkan kepada 14 masjid dan surau, termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro, sebagai penerima sumbangan bagi melaksanakan ibadah korban tahun ini.
Majlis penyerahan sumbangan telah diadakan di Masjid Al-Muhsiniin, Daro, malam tadi dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, yang juga Pengerusi LAKMD.
Menurut Safiee, sumbangan ini bukan sahaja bertujuan menunaikan tuntutan agama melalui ibadah korban, malah menjadi medium untuk memperkukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat Islam di kawasan tersebut.
“Melalui ibadah korban ini, kita bukan sahaja melaksanakan tuntutan agama, malah dapat berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial yang akan terus diperkasakan oleh LAKMD setiap tahun,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Daro Zul Usop, Penghulu Jebli Ngok, Penghulu Bahiri Selakong, Ketua Kaum serta wakil jawatankuasa masjid dan surau.
Oleh Akun Giman