
BETONG: Lembaga Khairat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) komited merencana pengurusan tanah perkuburan Islam di kawasan ini agar lebih ceria, sistematik dan patuh kepada hukum syarak.
Setiausaha LKAMB, Khamri Katang berkata, tumpuan utama diberikan kepada Tapak Perkuburan Islam Belakik yang merupakan lokasi persemadian utama bagi masyarakat Melayu Islam di Betong.
“LKAMB sedang merancang pelbagai program untuk manfaat masyarakat Melayu di sini, termasuk menaik taraf kawasan perkuburan Islam Belakik yang kini diuruskan oleh jawatankuasa lantikan lembaga ini.
“Kita mahu tapak ini diurus dengan lebih terancang dan kemas, mudah diselenggara, dan mempunyai lanskap yang lebih menarik,” katanya ketika menghadiri Majlis Tahlil dan Gotong-Royong anjuran LKAMB semalam.
Majlis itu diadakan bersempena kerja baik pulih kawasan perkuburan lama yang terkesan akibat kerja penambakan tanah, dengan kerjasama penduduk Kampung Melayu Betong, Jawatankuasa Pengurusan Surau Kampung Melayu Betong serta waris keluarga yang terlibat.
Menurut Khamri, proses baik pulih itu juga melibatkan usaha menyelaras semula kedudukan kubur lama yang tidak tersusun, termasuk pusara yang tidak dapat dikenal pasti warisnya.
“Setiap proses pemindahan dilaksanakan dengan teliti, mengikut tatacara dan hukum syarak bagi menjaga sensitiviti serta hak waris terhadap pusara ahli keluarga mereka,” jelasnya.
Sebanyak 10 kubur yang terjejas telah dipindahkan dan digantikan dengan batu nisan baharu dalam usaha menjadikan kawasan tersebut lebih teratur dan mudah diurus pada masa depan.
Turut hadir, Penghulu Kampung Melayu Betong Abang Suhailie Abang Pay, Exco Dana dan Pembangunan LKAMB Mohamad Mohadirudin Semain, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Betong (PPKMB) Ismail Mohamad, urusetia LKAMB serta Pengerusi Surau setempat.
Oleh Adi Safarman