
SANTUBONG: Kemampuan Lembaga Khairat Dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) dalam pengurusan akaun mampu menjana pendapatan badan induk itu untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat Melayu Betong.
Pengerusinya, Ustaz Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masuine, memberitahu kejayaan pihaknya sepanjang 13 tahun memegang tampuk pimpinan LKAMB mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meletakkan barisan tadbir urus yang pada awal pengambil alihan merupakan yang tercorot dari segi perolehan dana menjadi badan yang berada di kedudukan terbaik di negeri ini.
“Sejak mengambil alih pengurusan LKAMB bermula 2012, barisan pengurusan kami yang dipengerusikan oleh Ahmad Katang (2012-2016) pada ketika itu telah mengorak langkah terbaik untuk mencari dana bagi mengukuhkan pengurusan dan mengembalikan perolehan LKAMB yang terhakis pada pentadbiran yang terdahulu.
“Berpandukan tujuan asal penubuhan LKAMB, kami berusaha menunaikan tiga hasrat utama iaitu mengurang dan menghapuskan kemiskinan penduduk kampung Melayu Betong, menjaga kebajikan masjid dan surau selain mengukuhkan pengurusan kubur.
“Meskipun banyak perolehan yang dimiliki telah terhakis dan terlepas daripada pemilikan di bawah pentadbiran lalu, kami terus bertekad untuk membawa perubahan dan mengembalikan apa yang pernah kita miliki serta mengukuhkan dana dan perolehan,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat bersama pengerusi masjid dan surau serta persatuan di Betong yang berlangsung di Damai Beach Resort, semalam.

Tambahnya, LKAMB akan menerapkan tiga usaha membantu masyarakat Melayu di Betong dalam pengurusan pendidikan, ekonomi dan sosial.
“Betong mempunyai kekuatan sumber pendidikan dengan wujudnya pusat pengajian seperti Centex, Politeknik Metro Betong Sarawak (PMBS) dan Kolej Komuniti serta pusat pendidikan yang terbaik di peringkat Menengah telah didirikan di Betong yang merupakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk masyarakat di Betong.
“Oleh itu perlunya anak kampung Melayu Betong untuk merebut peluang yang ada bagi mendapatkan kuota di agensi tersebut.
“Bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang tetapi kurang berkemampuan disebabkan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, LKAMB bersedia memberi bantuan kepada mereka yang layak.
“Apa pun bantuan tersebut mesti melepasi syarat dan dikhaskan kepada anak-anak dari Daerah Betong yang bersekolah di kawasan Betong sahaja termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Augustine Betong dan SMK Datuk Patinggi Kedit Betong.
“Kita juga merancang untuk menjana ekonomi rakyat di Betong.
“Untuk itu kita akan berkerjasama dengan pertubuhan peniaga Melayu Betong bagi membantu menyediakan prasarana untuk pertubuhan terbabit jika diperlukan serta memikirkan untuk menyediakan bantuan pinjaman kepada peniaga kecil.
“Selain itu ada juga cadangan untuk mengambil alih Anjung Usahawan Betong yang pada masa sekarang tidak lagi beroperasi setelah sekian lama kosong selepas musim COVID-19.
“Disamping itu juga berusaha mengangkat belia untuk terlibat secara aktif dalam bidang sosial dan penglibatan semua dalam sukan dan permainan.
“Untuk rekod LKAMB telah menganjurkan pertandingan bolasepak yang telah dua musim dilangsungkan dan diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Masjid Betong,” jelasnya.
Pada masa sama, Abang Borhanuddin, berkata pihaknya juga telah menerima perkhabaran gembira apabila Masjid Bahagian Betong yang baharu yang bernilai RM14 juta akan didirikan dan dalam rangka penyerahan tapak.
Masjid yang dilengkapi dengan sistem digital penuh itu bakal menjadi mercu tanda baharu Bahagian Betong.
Beliau turut memberitahu beberapa perkara antaranya ialah pihaknya akan memberi tujuh ekor lembu untuk dikorbankan sempena Aidiladha yang akan datang kepada penduduk kampung menerusi pentadbiran Surau dan Masjid di kampung Melayu Betong.
“Yang lebih membanggakan, kita telah menubuhkan syarikat yang diberi nama Betong Malay Charitable Trust (BMCT) Holding Sdn Bhd untuk merancang dan menggumpul dana serta mengurus aset LKAMB.
“Dalam masa sama syarikat BMCT Holding telah menggerakkan langkah positif dengan kelulusan beberapa projek dan tender kerajaan dibawah pengurusan syarikat untuk disiapkan,” tegasnya.
Dalam majlis tersebut turut disampaikan sijil penghargaan kepada bekas pengerusi sebagai menghargai jasa merencanakan penguasaan exco baharu LKAMB.
Selain itu pembentangan usul dan permohonan daripada pengurusan surau dan persatuan untuk mendapatkan kelulusan LKAMB.
Turut hadir bekas Pengerusi Ahmad Katang, Timbalan Pengerusi Hamdan Katang, Setiausaha Khamri Katang, Bendahari Datu Abang Ahmad Abang Morni, dan barisan Exco serta Pengerusi dan wakil masjid dan surau serta persatuan.
Oleh Adi Safarman