
Slot menjelaskan Liverpool tidak mempunyai alasan untuk berasa gentar mengenai kunjungan mereka ke Paris.
LONDON: Arne Slot berkata Liverpool tidak perlu takut di Parc des Princes ketika beliau menyiapkan pasukan pilihan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bagi pertembungan blokbuster Liga Juara-Juara berdepan pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).
Pasukan Slot melangkah setapak dalam usaha mereka membida mahkota Liga Juara-Juara pertama sejak 2019 apabila mereka menentang PSG pada aksi pertama pusingan 16 terakhir, awal pagi Khamis ini.
Juara Eropah enam kali itu kalah kedua-dua kunjungan terdahulu ke PSG pada 1997 dan 2018.
Namun Liverpool hanya kalah empat kali dalam semua pertandingan musim ini dan sekali dalam Liga Juara-Juara – bertemu PSV Eindhoven pada aksi terakhir peringkat kumpulan, bila mana mereka sudah layak ke pusingan 16 terakhir.
The Reds muncul juara peringkat liga dengan tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan, termasuk kemenangan 2-0 ke atas penyandang juara Real Madrid dan turut dominan di pentas domestik.
Dicetus inspirasi kehebatan penyerang Mesir, Mohamed Salah, anak buah Slot mendahului 13 mata di puncak EPL ketika mereka menghampiri catatan menyamai rekod 20 kejuaraan Inggeris.
Liverpool boleh merangkul trofi pertama dalam era Slot apabila mereka berdepan Newcastle pada final Piala Liga di Wembley pada 16 Mac ini.
Dengan 20 kemenangan, The Reds menang lebih banyak perlawanan liga berbanding mana-mana kelab dalam lima liga utama Eropah setakat ini musim ini.
Selepas merosot baru-baru ini, Liverpool kembali di landasan tepat dengan dua kemenangan 2-0 ke atas Manchester City dan Newcastle yang membolehkan mereka semakin menghampiri kegemilangan EPL.
Mereka turut bermanfaat kerana tidak beraksi hujung minggu lalu sebelum aksi PSG kerana tersingkir awal daripada Piala FA.
Tidak hairan Slot menjelaskan Liverpool tidak mempunyai alasan untuk berasa gentar mengenai kunjungan mereka ke Paris.
“Adakah kami takut dengan PSG? Kami tidak takut sesiapa. Tetapi saya kagum dengan kualiti mereka, mereka berada pada lengkung ke atas yang agak serupa dengan kami pada masa ini,” katanya.
“Saya tidak fikir pasukan seperti Liverpool, Arsenal, Paris Saint-Germain, Barcelona, Real Madrid takut dengan lawan.
“Namun pastinya kami menghormati mereka dan ada alasan kerana itu. Mereka menang terlalu banyak perlawanan berturut-turut dan mereka mempunyai terlalu ramai pemain berkualiti.”
Seperti Liverpool, PSG turut menghampiri kejuaraan Perancis, mendahului 13 mata susulan 24 perlawanan tanpa kalah dalam Ligue 1 musim ini. – AFP