Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Liverpool tamat rentetan kekalahan, Salah cecah 250 gol 
  • SUKAN

Liverpool tamat rentetan kekalahan, Salah cecah 250 gol 

Utusan Sarawak 17 hours ago

Mohamed Salah menjaringkan gol ke-250 bersama Liverpool. Foto AFP

LIVERPOOL: Liverpool menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana apabila Mohamed Salah menjaringkan gol ke-250 untuk kelab itu dalam kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa awal pagi tadi.

Salah mengambil kesempatan daripada kesilapan Emiliano Martinez untuk membuka jaringan sebelum percubaan Ryan Gravenberch yang terkena pertahanan memastikan kemenangan yang dinanti-nantikan, sekali gus mengangkat juara bertahan itu ke tangga ketiga liga.

“Saya gembira kami kembali ke landasan yang betul,” kata Salah.

“Ia musim yang sukar kerana kami mempunyai beberapa pemain baharu — mereka bagus, tetapi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Kami juga kehilangan beberapa pemain. Ia mengambil masa untuk memahami permainan masing-masing, tetapi semuanya akan baik-baik saja.”

Keputusan pengurus Liverpool, Arne Slot, untuk menukar hampir keseluruhan pasukan ketika kekalahan 3-0 kepada Crystal Palace dalam saingan Piala Liga pada Rabu menambah tekanan kepada pemain utamanya untuk kembali mencatat kemenangan selepas enam kekalahan dalam tujuh perlawanan semua kejohanan.

“Apa yang paling saya suka ialah semua orang di sini merasakan betapa pentingnya perlawanan ini — pemain dan penyokong,” kata Slot. “Dari mula hingga tamat, para pemain benar-benar menunjukkan semangat mereka.”

Liverpool sebelum ini dibolosi dalam 15 minit pertama dalam empat kekalahan liga berturut-turut dan hampir dihukum sekali lagi apabila sepakan Morgan Rogers terkena tiang pada minit kelima.

Keyakinan kembali semula

Villa pada awalnya mudah memecahkan tekanan tinggi Liverpool, namun kesilapan mereka sendiri ketika cuba bermain dari belakang membawa padah.

Dominik Szoboszlai hampir membuka jaringan selepas merampas bola daripada Pau Torres, namun rembatan lemah terus ke arah Martinez.

Hugo Ekitike sempat menanduk masuk hantaran Szoboszlai, tetapi jaringan dibatalkan selepas semakan VAR menunjukkan beliau berada dalam posisi ofsaid.

Namun Villa gagal mengambil pengajaran apabila kesilapan besar Martinez membolehkan Salah menyempurnakan gol ke-250 ke gawang terbuka sebelum tamat separuh masa pertama.

Penyerang Mesir itu kini mengumpul lima gol musim ini, dan menduduki tempat ketiga dalam senarai penjaring sepanjang zaman Liverpool di belakang Ian Rushdan Roger Hunt.

Jaringan itu juga menamatkan tujuh perlawanan berturut-turut di mana Liverpool dibolosi terlebih dahulu, dan keyakinan mereka kembali terserlah pada babak kedua yang dominan.

Villa, yang sebelum ini menang empat perlawanan liga berturut-turut termasuk menewaskan Tottenham dan Manchester City, gagal menyaingi kebangkitan Liverpool selepas rehat.

Gravenberch, yang terlepas aksi minggu lalu akibat kecederaan buku lali, menyumbang gol kedua apabila percubaannya terkena defleksi Pau Torres selepas menerima hantaran Alexis Mac Allister.

Liverpool turut mencatat clean sheet pertama dalam 11 perlawanan, satu permulaan sempurna menjelang minggu penting — menentang Real Madrid di Anfield dalam Liga Juara-Juara pada Selasa, diikuti kunjungan ke Manchester City hujung minggu ini.

Walaupun masih berdepan cabaran besar untuk mengejar Arsenal dalam perebutan kejuaraan, kemenangan ini memotong semula jurang kepada tujuh mata — langkah penting untuk kembali bersaing dalam perlumbaan kejuaraan Liga Perdana. – AFP

Continue Reading

Previous: Arsenal mudah tewaskan Burnley, Man United seri
Next: Joao Pedro pecah kebuntuan, Chelsea tewaskan Spurs

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.