Arne Slot. Foto AFP
LONDON (UK): Harapan Liverpool untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana kini berubah menjadi krisis selepas kekalahan mengejut 3-2 kepada Brentford, kekalahan keempat berturut-turut mereka.
Pasukan Arne Slot kini jatuh ke tangga keenam liga, tewas empat kali dalam sembilan perlawanan – jumlah kekalahan yang sama seperti sepanjang musim mereka menjuarai liga sebelum ini.
Walaupun membelanjakan £446 juta bagi membawa masuk pemain seperti Florian Wirtz dan Alexander Isak, pembaharuan besar Slot gagal membuahkan hasil.
Pemain baharu seperti Frimpong dan Kerkez juga bergelut, manakala bintang utama seperti Mohamed Salah dan Virgil van Dijk dilihat merosot prestasinya.
Slot mengakui beliau masih belum menemui cara mengekang taktik lawan yang menggunakan hantaran jauh, sambil menambah perubahan besar skuad menjadi punca utama ketidakseimbangan pasukan.
Tragedi kematian Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya turut memberi kesan kepada moral pasukan.
Kapten Andrew Robertson menegaskan tiada alasan untuk kejatuhan prestasi itu, menyeru rakan sepasukan supaya bekerja lebih keras dan mencari konsistensi. – AFP