
LONDON: Malam getir bercampur manis buat Alexander Isak apabila penyerang Liverpool itu menjaringkan gol sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dalam kemenangan huru-hara 2-1 ke atas Tottenham Hotspurs yang beraksi dengan sembilan pemain, awal pagi tadi.
Isak meletakkan Liverpool di hadapan pada separuh masa kedua di utara London selepas pemain Tottenham, Xavi Simons, dilayangkan kad merah sebelum rehat akibat terjahan keras ke atas Virgil van Dijk.
Ia merupakan gol ketiga Isak dalam 16 penampilan di semua kejohanan sejak perpindahan rekod Britain bernilai £125 juta (AS$166 juta) dari Newcastle pada hari terakhir jendela perpindahan.
Namun, selari dengan permulaan sukar kariernya bersama juara Liga Perdana Inggeris itu, pemain berusia 26 tahun berkenaan gagal meraikan sepenuhnya jaringan tersebut apabila terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan akibat cubaan Micky van de Ven menghalangnya.
Gol kelima Hugo Ekitike dalam empat penampilan terakhir meletakkan Liverpool di landasan selesa sebelum Richarlison merapatkan jurang, mencetuskan penamat tegang yang memuncak dengan pengusiran Cristian Romero pada masa kecederaan.
Skuad kendalian Arne Slot melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris selepas melanjutkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan dalam semua kejohanan, sekali gus semakin menjauh daripada episod buruk sembilan kekalahan dalam 12 perlawanan yang sebelum ini mencetuskan krisis.
Ketika Liverpool kembali stabil dengan kemenangan ketiga berturut-turut, kecederaan Isak hadir pada waktu paling tidak sesuai susulan ketiadaan Mohamed Salah yang menyertai Piala Negara-Negara Afrika.
Slot sebelum ini mendakwa pada Jumaat bahawa kelab sudah “move on” daripada kontroversi Salah susulan temu bual meletup dua minggu lalu, yang menyaksikan pemain itu mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam dan hubungannya dengan pengurus Reds telah retak.
Salah digugurkan daripada skuad dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Inter Milan, namun kembali sebagai pemain gantian dalam kemenangan minggu lalu ke atas Brighton.
Penyerang berusia 33 tahun itu kini bersama Mesir untuk tugasan antarabangsa beberapa minggu, menjadikan kecederaan Isak satu tamparan hebat sekiranya dia perlu berehat panjang.
Impak Isak
Slot dijangka menghabiskan tempoh Krismas dengan kebimbangan terhadap tahap kecergasan Isak, manakala tempoh perayaan pengurus Tottenham, Thomas Frank, lebih bergelora.
Kekalahan longlai 0-3 kepada Nottingham Forest minggu lalu mencetuskan perdebatan mengenai masa depan jurulatih dari Denmark itu dalam musim sulungnya yang tidak menentu.
Tottenham kini di tangga ke-13 selepas hanya menang sekali dalam lapan perlawanan liga terakhir.
Ange Postecoglou dipecat walaupun memenangi Liga Europa musim lalu untuk menamatkan kemarau trofi 17 tahun kelab itu, dan Frank berdepan risiko nasib sama jika keputusan tidak segera bertambah baik.
Simons meletakkan Tottenham dalam situasi sukar pada minit ke-33 apabila menyapu kakinya dengan tapak kasut ke betis Van Dijk dari belakang.
Pada awalnya dilayangkan kad kuning, namun kad merah dikeluarkan selepas semakan VAR.
Slot memasukkan Isak menggantikan Conor Bradley yang cedera pada separuh masa dan penyerang Sweden itu hanya memerlukan 11 minit untuk memberi impak apabila Liverpool membuka jaringan – hasil kombinasi perpindahan bernilai £300 juta.
Ekitike menghantar bola kepada Florian Wirtz, sebelum pemain itu melorongkan hantaran tepat kepada Isak yang mengatur larian dan menyudahkan peluang dari jarak 10 ela menewaskan Guglielmo Vicario.
Ekitike menggandakan kelebihan Liverpool pada minit ke-66.
Hantaran lintang Jeremie Frimpong yang melambung ke dalam kotak penalti enam ela, sebelum Ekitike menewaskan Romero di udara untuk menanduk bola ke penjuru atas gawang.
Richarlison merapatkan kedudukan pada minit ke-83 dengan rembatan jarak dekat selepas kapten Reds, Van Dijk, tersalah mengeluarkan bola.
Namun ketika Liverpool tampak goyah, layangan kad kuning kedua kepada Romero akibat menendang Ibrahima Konate melegakan pasukan pelawat. – AFP