
LONDON: Liverpool bersetuju untuk menandatangani penyerang Sweden, Alexander Isak dari Newcastle United dengan rekod perpindahan termahal di Britain bernilai sekitar 130 juta pound (RM740 juta), menurut laporan media hari ini.
Laporan The Athletic dan The Telegraph menyatakan Isak akan menjalani pemeriksaan perubatan hari ini sebelum melengkapkan kontrak enam tahun bersama juara Liga Perdana Inggeris itu.
Isak, 25, meledak 23 gol dalam saingan liga musim lalu hanya di belakang bintang Liverpool Mohamed Salah sekali gus membantu Newcastle layak ke Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, spekulasi perpindahan ini berlarutan sepanjang musim panas apabila Isak berlatih berasingan daripada skuad utama Newcastle selepas menyuarakan hasrat mahu berpindah ke Anfield.
Sabtu lalu, Newcastle membawa masuk penyerang antarabangsa Jerman, Nick Woltemade dengan rekod kelab bernilai sehingga 69 juta pound (RM393 juta), yang dilihat sebagai langkah membuka jalan kepada perpindahan Isak ke Liverpool. – AFP