
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta sedar pasukannya berdepan cabaran lebih sukar menyaingi Liverpool dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris berbanding musim lalu. – Foto AFP
LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui seteru perebutan gelaran Liverpool sudah membina skuad “terkuat” dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas juara bertahan itu menandatangani Alexander Isak dengan yuran rekod Britain.
Liverpool membelanjakan £125 juta (RM712 juta) kepada Newcastle untuk mendapatkan penyerang Sweden, Isak bagi menambah satu lagi pilihan serangan buat pasukan kendalian Arne Slot.
Selepas menjuarai gelaran liga Inggeris ke-20 yang menyamai rekod musim lalu, The Reds membelanjakan lebih £400 juta (RM2.28 bilion) bagi pemain baharu, dengan Florian Wirtz tiba dengan harga £100 juta (RM570 juta) dari Bayer Leverkusen.
Perbelanjaan besar Liverpool itu kira-kira £200 juta (RM1.14 bilion) lebih banyak berbanding Arsenal yang membawa masuk lapan pemain baharu, namun perbelanjaan bersih mereka sebenarnya lebih rendah kerana penjualan melebihi £200 juta.
Skuad Slot menewaskan Arsenal 1-0 di Anfield sebelum rehat tugasan antarabangsa dalam pertembungan awal antara dua pasukan pilihan kejuaraan.
Liverpool kini berada di tangga teratas liga dengan satu-satunya rekod 100 peratus yang masih kekal selepas tiga kemenangan berturut-turut, manakala Arsenal mengutip enam mata.
Ditanya bagaimana kehadiran Isak di Anfield boleh mempengaruhi perebutan gelaran, Arteta yang mana pasukannya ketinggalan 10 mata di belakang Liverpool musim lalu berkata: “Mereka sememangnya yang terkuat.
“Mereka berjaya mendapatkan dua pemain paling berpengaruh yang ada di pasaran Eropah (Isak dan Wirtz) dan mereka melakukannya dengan amat baik.
“Mereka memang sangat, sangat kuat dan kami perlu melihat diri sendiri dan apa yang harus kami lakukan dari segi kemampuan kami untuk menjadi lebih baik daripada mereka.”
Arsenal tidak pernah memenangi gelaran sejak tahun 2004 dan satu-satunya trofi Arteta sepanjang lima tahun kendaliannya adalah Piala FA 2020.
Selepas menamatkan saingan di tangga kedua EPL selama tiga tahun berturut-turut, Arteta sedar tugas untuk memintas Liverpool amat sukar.
“Ia bukan hanya mengenai Liverpool, tetapi liga secara keseluruhan dan betapa sukarnya dengan tahap permainan sekarang untuk benar-benar konsisten serta memenangi jumlah perlawanan yang diperlukan bagi layak merangkul gelaran,” katanya.
“Ia akan menjadi perjalanan yang amat panjang buat kita semua.” – AFP