


LIVERPOOL: Pengerusi Liverpool, Tom Werner, mendedahkan bahawa kelab itu sudah mula sibuk merangka perancangan untuk memperkukuh skuad walaupun baru saja menamatkan musim dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris.
Trofi kejuaraan diarak di sekitar pusat bandar Liverpool dengan puluhan ribu penyokong membanjiri jalanan.
Namun, fokus pengurusan kelab kini tertumpu kepada usaha mempertahankan kejuaraan musim depan.
Media Britain melaporkan The Reds hampir melengkapkan tiga pembelian besar bernilai sekitar £200 juta (RM1.2 bilion), termasuk pemain Bayer Leverkusen, Jeremie Frimpong, sebagai pengganti kepada Trent Alexander-Arnold yang dijangka meninggalkan kelab.
Selain itu, bintang tengah Leverkusen, Florian Wirtz, turut dikatakan memilih Anfield sebagai destinasi pilihan sekiranya berhijrah dari Bundesliga.
Pemain berusia 22 tahun itu berpotensi memecahkan rekod perpindahan Liga Perdana Inggeris yang kini dipegang Moises Caicedo (£115 juta).
Pemain pertahanan kiri Bournemouth, Milos Kerkez, juga dilaporkan berminat menyertai Liverpool dengan nilai perpindahan sekitar £50 juta.
“Kami sudah sibuk sekarang. Kami akan cuba lagi. Kemenangan ini tidak pernah menjemukan. Kami berhutang kepada penyokong untuk membawa kembali pasukan yang lebih hebat musim depan,” kata Werner.
Kejayaan Arne Slot dalam musim pertamanya sebagai pengendali Liverpool dianggap menakjubkan memandangkan beliau tidak diberi peruntukan besar untuk pembelian pemain musim lalu.
Federico Chiesa, yang gagal menyerlah dalam beberapa penampilan, adalah satu-satunya pembelian kelab sejak Slot mengambil alih.
“Ia benar-benar luar biasa. Kami memang meletakkan harapan tinggi, tetapi dia membuktikan dirinya sebagai jurulatih yang luar biasa,” ujar Werner. – AFP