Pengurus Liverpool Arne Slot. - Foto AFP
LONDON: Pengurus Liverpool, Arne Slot, menegaskan juara bertahan England itu masih mampu melakukan “perkara istimewa” musim ini ketika mereka bersiap sedia menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, selepas permulaan goyah dalam usaha mempertahankan kejuaraan.
Pasukan kendalian Slot akan bertandang ke Stadium Emirates bagi pertemuan awal pagi Jumaat ini dalam kedudukan keempat liga, namun ketinggalan 14 mata di belakang The Gunners.
Bagaimanapun, selepas melalui tempoh sukar dengan sembilan kekalahan daripada 12 perlawanan dalam semua pertandingan, Liverpool kini tidak tewas dalam sembilan perlawanan terakhir — walaupun siri itu merangkumi empat keputusan seri.
Keputusan seri tersebut termasuk keputusan seri tanpa jaringan menentang Leeds dan seri 2-2 dengan Fulham dalam dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris mereka pada 2026.
“Ia sembilan perlawanan tanpa kalah tetapi kami sememangnya mencatat terlalu banyak keputusan seri,” kata Slot dalam sidang media pra-perlawanan pada Rabu.
Pengendali dari Belanda itu, yang membimbing Liverpool menjulang kejuaraan liga dengan bergaya pada musim pertamanya di Anfield selepas menggantikan Jurgen Klopp, menambah: “Di mana kedudukan kami? Saya rasa saya sudah banyak kali mengatakan jawapan kepada soalan itu — kami belum berada di tahap yang kami mahukan, tetapi saya merasakan kami mempunyai skuad yang sangat berbakat.
“Jika semua pemain cergas dan bersedia, maka saya fikir kami mampu melakukan perkara istimewa.”
Liverpool sememangnya pernah mempamerkan kemampuan itu lebih awal musim ini apabila menewaskan Arsenal 1-0 di Anfield pada Ogos lalu.
“Saya rasa kami juga telah menunjukkannya musim ini kerana kami mencatat beberapa kemenangan yang sangat mengagumkan, tetapi kami juga melalui keputusan seri dan kekalahan yang mengecewakan,” kata Slot.
“Kami tidak mempunyai konsistensi, tetapi kami sudah menewaskan beberapa pasukan yang sangat bagus, jadi itu menunjukkan bakat sememangnya ada, cuma konsistensi yang kurang.”
Kemenangan mengagumkan itu termasuk kejayaan di laman sendiri menentang Real Madrid dan Atletico Madrid serta kemenangan besar 5-1 di tempat lawan ke atas Eintracht Frankfurt dalam Liga Juara-Juara.
Namun sebaliknya, mereka turut mengalami kekalahan dengan bolos tiga gol di laman sendiri sebanyak tiga kali musim ini, masing-masing menentang Crystal Palace, Nottingham Forest dan PSV Eindhoven. – AFP