LIVERPOOL, England: Liverpool lulus satu ujian getir dalam usaha mereka merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus kembali merampas tangga teratas dengan menundukkan Chelsea 2-1 di Anfield awal pagi tadi.
Penalti Mohamed Salah dan gol kemenangan Curtis Jones menjadikannya 10 kemenangan dalam 11 perlawanan sejak Arne Slot menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengurus.
Nicolas Jackson buat sementara menyamakan kedudukan untuk Chelsea, yang menikmati hampir 60 peratus penguasaan bola, namun mereka mengalami kekalahan pertama liga sejak tumpas di tangan Manchester City pada minggu pembukaan musim.
Kemenangan itu meletakkan Liverpool kembali satu mata di depan City dan empat di depan Arsenal, yang akan ditemui mereka hujung minggu ini.
Chelsea kini ketinggalan tujuh mata merudum ke tangga keenam, namun mereka pulang bertambah keyakinan selepas satu persembahan yang berjaya mengehadkan keupayaan Liverpool.
Satu-satunya kekalahan Liverpool di bawah kendalian Slot hadir di tangan Nottingham Forest susulan rehat tugasan antarabangsa September lalu.
Pengendali dari Belanda itu kali ini meninggalkan semua pemain antarabangsanya dari Amerika Selatan – Alexis Mac Allister, Luis Diaz dan Darwin Nunez – di bangku simpanan selepas mereka pulang kepenatan merentasi Atlantik beberapa hari lalu.
Keputusan untuk menurunkan Jones dalam kesebelasan utama buat kali kedua dalam liga musim ini ternyata mencetus inspirasi apabila pemain antarabangsa England itu memenangi sepakan penalti Liverpool dan menjaringkan gol penentuan.
Chelsea menyesuaikan diri dengan baik mengikut rentak mereka dan menekan tuan rumah dengan menguasai bola bagi tempoh setengah jam pertama.
Bagaimanapun, kepantasan Liverpool ketika serangan balas menjadi ancaman utama dan Chelsea terperangkap apabila Salah mengumpan kepada Jones, yang kemudian dijatuhkan oleh Levi Colwill.
Salah merembat masuk gol ke-10 menentang bekas kelabnya menerusi sepakan penalti itu pada minit ke-29.
Dalam tempoh tiga minit selepas rehat, The Blues kembali menyamakan kedudukan apabila VAR memainkan peranan membantu pelawat.
Jackson menyambut lorongan cantik Moises Caicedo dan tenang meledak masuk melepasi penjaga gol Caoimhin Kelleher bagi gol kelimanya dalam lapan aksi EPL.
Penyerang Senegal itu pada awalnya dikatakan ofsaid, tetapi semakan semula VAR menyaksikan Ibrahim Konate membolehkannya berada dalam keadaan onsaid.
Liverpool mengambil masa hanya tiga minit untuk kembali mendahului apabila Jones meluru untuk menampan masuk hantaran silang Salah. – AFP