 
                Penyerang Brazil Brentford, Igor Thiago (kiri), menjaringkan gol ketiga pasukannya menerusi sepakan penalti ketika menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris. Foto AFP
LONDON: Liverpool terus terperosok apabila tewas 3-2 kepada Brentford, mencatat kekalahan keempat berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris.
Gol Brentford dijaringkan oleh Dango Ouattara, Kevin Schade dan Igor Thiago(penalti), manakala Milos Kerkez dan Mohamed Salah menjaringkan gol untuk Liverpool.
Pasukan Arne Slot kini jatuh ke tangga keenam dan telah tewas lima daripada enam perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, walaupun berbelanja hampir £450 juta musim panas lalu.
Slot mengakui pasukannya gagal melakukan asas permainan dengan betul dan menyifatkan ini sebagai persembahan paling buruk antara empat kekalahan tersebut.
Brentford menggunakan taktik lontaran jauh untuk menghukum kelemahan pertahanan Liverpool, manakala Thiago menamatkan peluang kebangkitan lawan melalui sepakan penalti.
Salah menamatkan kemarau jaringan enam perlawanan, tetapi gol lewat itu tidak mampu mengelak kekalahan.
Liverpool kini berdepan krisis prestasi serius selepas kejatuhan mendadak pasca rombakan skuad dan kematian tragik Diogo Jota pada Julai lalu. – AFP