
Pemain Liverpool, Curtis Jones (kanan) memeluk pemain pertahanan Trent Alexander-Arnold yang beraksi buat kali terakhir bersama kelab itu. – Foto AFP
LIVERPOOL, England: Liverpool melengkapkan musim memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan keputusan seri 1-1 menentang Crystal Palace malam tadi, ketika gol penyamaan lewat Mohamed Salah memadamkan gol pembukaan Ismaila Sarr di Anfield.
Dengan kejuaraan liga dipastikan ketika berbaki empat perlawanan, aksi malam tadi dimainkan dalam suasana gembira dan penyokong Palace – yang turut bergembira selepas kejayaan pada final Piala FA hujung minggu lalu – menyertai mereka dengan laungan dan nyanyian “juara.”
Sarr merembat masuk pada minit kesembilan selepas dia mendapat ruang susulan hantaran Tyrick Mitchell, yang merampas bola hantaran jauh Conor Bradley.
Trent Alexander-Arnold, yang diejek sesetengah peminat selepas mengumumkan dia akan meninggalkan pasukan itu, dibawa masuk selepas rehat bagi penampilan ke-354 dan terakhir buat Liverpool.
Produk akademi Liverpool itu, yang dilapor akan berpindah ke Real Madrid, hampir mencetus umpanan gol buat Darwin Nunez dengan satu hantaran memukau yang turut disaksikan bekas pengurusnya Jurgen Klopp, namun penjaga gol Palace, Dean Henderson sudah bersedia.
Ryan Gravenberch menerima kad merah dengan hanya berbaki 20 minit, bermakna dia akan terlepas perlawanan pertama musim depan, namun Liverpool terus mengasak.
Apabila pemain gantian Diogo Jota merembat ke palang dengan berbaki 15 minit, ia kelihatan musim Liverpool akan berakhir dengan satu lagi kekalahan.
Namun mereka menyamakan kedudukan pada minit ke-84 menerusi penyudah ala karate Salah dari dalam kotak penalti, merakam gol ke-29 dalam liga buatnya musim ini sekali gus menyamai rekod Andy Cole dan Alan Shearer bagi 47 pembabitan gol dalam musim EPL.
Salah menerima anugerah Kasut Emas dan Perancang Utama Musim daripada penjaring gol terbanyak The Reds sepanjang zaman Ian Rush, salah seorang bekas bintang Liverpool yang hadir, sebelum kapten Virgil van Dijk menjulang trofi EPL buat kali kedua.