
LONDON: Liverpool memenangi persaingan untuk mendapatkan pertahanan Rennes, Jeremy Jacquet, pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris yang agak sepi, manakala Crystal Palace menyambar penyerang Wolves, Jorgen Strand Larsen, walaupun perpindahan Jean-Philippe Mateta ke AC Milan gagal.
The Reds dilaporkan bersetuju membayar sehingga £60 juta untuk Jacquet sebelum jendela ditutup, namun pemain berusia 20 tahun itu hanya akan menyertai Anfield pada musim panas ini.
Jacquet, yang sebelum ini dikaitkan dengan Chelsea, dikatakan memilih Liverpool kerana peluang beraksi lebih cerah susulan krisis pertahanan kelab itu.
Liverpool kini kekurangan pilihan di posisi pertahanan tengah selepas Joe Gomez dan Giovanni Leoni dibelenggu kecederaan.
Jacquet, yang sudah membuat 31 penampilan bersama Rennes, akan kekal di Ligue 1 hingga akhir musim sebelum berpindah secara rasmi dengan kontrak jangka panjang.
Dalam perkembangan lain, Palace memecahkan rekod kelab dengan menandatangani Strand Larsen pada nilai £48 juta selepas menjangka Mateta bakal berhijrah ke Milan.
Bagaimanapun, perpindahan Mateta ke Serie A terbatal susulan kebimbangan perubatan terhadap kecederaan lutut, namun Palace tetap meneruskan pembelian penyerang Norway itu.
Perpindahan lain
• Wolves merekrut Adam Armstrong dari Southampton (£7 juta) sebagai pengganti Strand Larsen.
• Everton meminjam pemain sayap muda Chelsea, Tyrique George, hingga akhir musim.
• Chelsea memanggil semula Mamadou Sarr dari Strasbourg dan bersiap meminjamkan Axel Disasi ke West Ham.
• Manchester City meminjamkan Kalvin Philips ke Sheffield United.
• Tottenham mendapatkan penyerang muda Scotland, James Wilson, secara pinjaman dari Hearts.
• Nottingham Forest menandatangani bek kiri Borussia Monchengladbach, Luca Netz
• Sunderland membawa masuk Nilson Angulo dari Anderlecht, sementara Simon Adingra dipinjamkan ke Monaco. – AFP