

LONDON: Liverpool mengikat Jeremie Frimpong dari Bayer Leverkusen, umum juara Liga Perdana Inggeris itu semalam.
Tiada bayaran atau tempoh kontrak didedahkan, tetapi laporan media Britain menyatakan Frimpong berpindah ke Anfield dengan kontrak lima tahun bernilai 35 juta euro (RM169 juta).
Berita mengenai perpindahan Frimpong hadir hanya beberapa jam selepas Liverpool mengesahkan Trent Alexander-Arnold akan menyertai Real Madrid dan dijangka beraksi pada Piala Dunia Kelab.
Frimpong dilihat sebagai pengganti pertahanan kanan England, Alexander-Arnold apabila Liverpool mengaktifkan klausa pelepasan pemain antarabangsa Belanda berusia 24 tahun itu.
Dia memainkan peranan penting ketika Leverkusen menjuarai Bundesliga buat kali pertama pada musim 2023-24 dan membuat 53 penampilan dalam semua pertandingan musim ini ketika mereka menamatkan kempen di tangga kedua.
Namun begitu, Frimpong akan menghadapi saingan di posisi bek kanan daripada pertahanan Ireland Utara, Conor Bradley yang baru sahaja menandatangani kontrak baharu selama empat tahun bersama Liverpool.
Frimpong memulakan kariernya di peringkat remaja bersama Manchester City sebelum berpindah ke Celtic pada September 2019 dan kemudian ke Leverkusen pada Januari 2021.
Kini, dia akan menyertai kumpulan pemain Belanda di Liverpool yang terdiri daripada pengurus Arne Slot serta kapten Virgil van Dijk, Cody Gakpo dan Ryan Gravenberch.
Liverpool juga sedang berunding dengan Leverkusen untuk mendapatkan bekas rakan sepasukan Frimpong, Florian Wirtz.
Laporan awal semalam menyatakan Liverpool membuat tawaran baharu bernilai £109 juta (RM624 juta) untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Jerman itu. – AFP