BOLA sepak Liga Perdana Inggeris dijangka kembali pada 17 Jun selepas diberhentikan selama tiga bulan kerana Covid-19 tetapi secara realistik ia tidak akan menghalang Liverpool daripada dinobatkan sebagai juara untuk pertama kali dalam tempoh 30 tahun.
Bagaimanapun, masih banyak masalah lain untuk diselesaikan termasuk penyingkiran dan tempat dalam pertandingan Eropah tahun hadapan dengan drama yang akan berlangsung di dalam stadium kosong.
Terkini, Liverpool berada 25 mata di hadapan Manchester City dan hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk menjadi juara buat pertama kali sejak 1990 ketika liga digantung pada Mac lalu.
Dua kemenangan secara matematik akan menjadikan City mustahil untuk mengejar Liverpool tetapi The Reds boleh menang dengan memenangi perlawanan pertama mereka jika City tewas di tempat sendiri kepada Arsenal pada 17 Jun ini.
Anak didik Jurgen Klopp turut mampu memecahkan dua rekod City yang paling dihargai mereka iaitu memerlukan 19 mata daripada 27 baki untuk mengalahkan jumlah keseluruhan 100 mata City yang dicatat pada musim 2017/18 dan dapat mengatasi jurang kemenangan 19 mata daripada kempen yang sama.
Kapten Liverpool, Jordan Henderson menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA di sebuah stadium yang penuh sesak di Madrid pada Jun tahun lalu tetapi kini bersiap untuk pengalaman yang berbeza tahun ini.
“Sudah tentu akan terasa berbeza kerana jika anda memenangi sebarang trofi dan menerimanya tanpa peminat di sana, itu akan menjadi sangat aneh,” katanya kepada BBC.
Apa yang menariknya, saingan untuk empat tempat teratas mungkin menjadi pertempuran untuk lima pasukan teratas.
Liverpool sudah mengesahkan tempat mereka pada Liga Juara-Juara dan empat tempat teratas yang lain kini dihuni oleh Manchester City, Leicester dan Chelsea.
Seiring dengan keadaan, City tidak dapat bersaing dalam pertandingan kelab teratas Eropah untuk dua musim berikutnya setelah digantung kerana meranggar peraturan kewangan.
Skuad Pep Guardiola telah membuat rayuan dan masih boleh bertanding jika penggantungan dibatalkan.
Manakala, Manchester United kini menduduki tempat kelima tetapi Wolves dan Sheffield United kedua-duanya hanya dua mata di belakang pasukan Ole Gunnar Solskjaer.
Tottenham dan Arsenal yang berada di kedudukan kelapan, satu tempat lebih rendah juga akan mempertaruhkan peluang mereka untuk menduduki tempat kelima dengan cabaran lewat.
Norwich, Aston Villa dan Bournemouth pula menduduki tiga tempat terbawah dalam Liga Perdana tetapi semua akan berharap mereka akan dapat melepaskan diripada penyingkiran.
Norwich berada di kedudukan tercorot dan enam mata di bawah zon selamat tetapi kemenangan di tempat sendiri ke atas Leicester pada akhir Februari memberi mereka harapan.
Villa telah tewas dalam empat perlawanan berturut-turut sebelum liga diberhentikan dan tempoh rehat ini akhirnya dapat membantu pasukan dari Birmingham itu yang bermain kurang satu perlawanan.
Di atas tiga pasukan terbawah ketika ini, Watford masih berhadapan dengan masalah walaupun dengan kebangkitan mengagumkan mereka di bawah kendalian Nigel Pearson, sementara West Ham dan Brighton jauh daripada terselamat.- AFP