
LONDON: Liverpool semakin hampir mendapatkan penyerang muda Perancis, Hugo Ekitike, selepas menghantar tawaran baharu melebihi RM468 juta (£78 juta) kepada Eintracht Frankfurt sekali gus menewaskan saingan utama, Newcastle United.
Menurut laporan talkSPORT, semua pihak termasuk pengarah sukan Liverpool, Richard Hughes dan rakan sejawatnya dari Frankfurt, Markus Krosche, kini sedang memuktamadkan perincian akhir seperti bonus tambahan sebelum mengesahkan perpindahan.
Difahamkan, Ekitike sudah bersetuju secara lisan untuk menyertai pasukan juara Liga Perdana Inggeris itu dengan kontrak selama enam tahun, menjadikannya pembelian utama baharu Liverpool musim ini.
Langkah Liverpool itu juga menjadi tamparan hebat buat Newcastle, yang sebelum ini menghantar tawaran RM390 juta (£65 juta) tetapi ditolak kerana Frankfurt berkeras dengan tanda harga sekitar RM522 juta (€100 juta).
Ekitike, 23, pernah dicanang sebagai ‘Mbappe baharu’ ketika mula bersinar bersama Reims pada 2021, namun kerjayanya hampir tenggelam selepas pindah ke PSG yang gagal membuahkan impak, sebelum bangkit semula di Bundesliga musim lalu.
Musim 2024-2025 menyaksikan Ekitike menjaringkan 22 gol dalam semua kejohanan untuk Frankfurt, sekali gus membuka mata kelab gergasi seperti Liverpool dan Newcastle untuk kembali bersaing mendapatkannya.
Liverpool dilaporkan mahu memperkukuhkan jentera serangan susulan Darwin Nunez yang kini berada dalam senarai jualan, dengan penilaian sekitar RM354 juta (£59 juta), menjadikan Ekitike sebagai pengganti jangka panjang.
Langkah ini juga dilihat sebagai satu strategi jangka masa panjang buat The Reds dalam era pengurusan baharu, terutama selepas musim hebat yang menyaksikan mereka kembali merangkul kejuaraan liga.
Jika perpindahan dimuktamadkan, Ekitike akan menjadi pemain ketiga paling mahal dalam sejarah Liverpool selepas Virgil van Dijk (RM450 juta) dan Darwin Nunez (RM510 juta).
Kini, peminat Merseyside hanya menunggu pengumuman rasmi dalam tempoh 48 jam, dan sekiranya tiada halangan saat akhir, Hugo Ekitike akan disambut sebagai bintang baharu Anfield musim ini.