Murillo dari Nottingham Forest meraikan jaringannya ketika menentang Liverpool. Foto AFP
LONDON: Musim hambar Liverpool terus meruncing apabila mereka tewas mengejut 3-0 di laman sendiri kepada Nottingham Forest, manakala Newcastle menambah derita Manchester City dengan kemenangan kontroversi 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, lewat malam tadi.
Liverpool yang masih tercari-cari rentak dikejutkan pada minit ke-33 menerusi rembatan padu Murillo selepas pertahanan gagal menyapu bola daripada sepakan penjuru.
Pengurus The Reds, Arne Slot, mempertikai jaringan itu kerana pemain Forest, Dan Ndoye, didakwa menghalang penjaga gol Alisson Becker.
Forest menambah gol kedua sejurus babak kedua bermula hasil sentuhan Nicolo Savona, sebelum Morgan Gibbs-White melengkapkan kemenangan selesa pada minit ke-78.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool tumbang lapan kali dalam 11 perlawanan terakhir dan tewas dua perlawanan liga berturut-turut dengan perbezaan tiga gol — kali pertama sejak 1965.
Mereka kini berada di tangga ke-11, lapan mata di belakang pendahulu Arsenal.
Pembelian mega melebihi £400 juta juga belum menunjukkan hasil apabila penyerang baru, Alexander Isak, masih gagal menjaringkan gol liga.
“Kami tidak cukup mencipta peluang dan kini berada dalam tempoh yang sangat sukar,” kata Slot.
Barnes jadi wira, City terus tercicir
Di St James’ Park, dua gol Harvey Barnes memastikan Newcastle menang 2-1 ke atas City, sekali gus memberikan tamparan baharu kepada skuad Pep Guardiola.
City menyamakan kedudukan melalui Ruben Dias, namun jaringan kedua Barnes kekal selepas semakan VAR panjang walaupun terdapat dakwaan ofsaid melibatkan Bruno Guimaraes.
Guardiola turut tidak berpuas hati selepas tuntutan penalti Phil Foden diketepikan.
Kekalahan itu menjadikan City berada di tangga ketiga, empat mata di belakang Arsenal.
Chelsea naik ke tempat kedua
Chelsea melonjak ke tangga kedua selepas menundukkan Burnley 2-0 menerusi jaringan Pedro Neto dan Enzo Fernandez.
Kemenangan itu hadir menjelang aksi penting menentang Barcelona di Liga Juara-Juara, sebelum melayan kunjungan Arsenal 30 November ini.
Keputusan lain
• Crystal Palace 2-0 Wolves
• Brighton 2-1 Brentford
• Fulham 1-0 Sunderland
• Bournemouth 2-2 West Ham
- AFP