Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Liverpool boleh salahkan diri sendiri tewas kepada Palace – Slot
  • SUKAN

Liverpool boleh salahkan diri sendiri tewas kepada Palace – Slot

Utusan Sarawak 2 days ago

Arne Slot. Foto AFP

LONDON: Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui Crystal Palace layak meraih kemenangan 2-1 selepas rekod sempurna juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu lebur di Selhurst Park.

Skuad Slot sebelum ini memenangi tujuh aksi EPL, Liga Juara-Juara dan Piala Liga selepas tewas menerusi penalti kepada Palace dalam Perisai Komuniti bulan lalu.

Namun Liverpool yang tampil dengan wajah baharu selepas berbelanja hampir £450 juta (RM2.54 bilion) dalam jendela perpindahan, beberapa kali terselamat hasil jaringan lewat permainan.

Kali ini, Ismaila Sarr membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan buat Palace, selepas hanya ketangkasan Alisson Becker menafikan lebih banyak gol pada babak pertama.

Liverpool seakan mampu pulang dengan satu mata apabila Federico Chiesa menyamakan kedudukan pada lewat permainan.

Bagaimanapun Palace memanfaatkan kelalaian benteng lawan pada masa kecederaan apabila Eddie Nketiah meledak masuk gol kemenangan.

“Jika ada pasukan yang layak menang hari ini, ia adalah Palace,” kata Slot.

“Pujian buat mereka, dengan Perisai Komuniti, ini bukan kali pertama kami tewas kepada Palace. Mereka sepatutnya sudah mendahului dua atau tiga gol pada babak pertama.”

Termasuk Perisai Komuniti, Liverpool sudah dibolosi dua gol dalam lima daripada sembilan perlawanan musim ini.

Slot nyata kecewa dengan cara barisan pertahanannya melepaskan gol kemenangan apabila Jeremie Frimpong leka meninggalkan Nketiah tanpa dikawal.

“Kami hanya boleh salahkan diri sendiri kerana bertahan begitu buruk,” kata Slot.

“Salah seorang pemain kami lari untuk cuba melakukan serangan balas, sedangkan masa sudah tamat, sepatutnya hanya bertahan. Sikap terlalu mahu menyerang ketika itu menyebabkan mereka menjaringkan gol kemenangan.”

Palace kini satu-satunya pasukan tanpa kalah dalam EPL.

Malah sejak kejayaan menjuarai Piala FA musim lalu, skuad Eagles kendalian Oliver Glasner tidak tewas dalam 18 perlawanan bagi semua pertandingan. – AFP

Continue Reading

Previous: Palace calar rekod kemenangan Liverpool
Next: Sukan SEA 2027: Sarawak perkasa kemudahan sukan, dua stadium bakal dinaik taraf

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.