
Pemain Liverpool, Mohamed Salah menjaringkan gol keempat pasukannya ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth di Anfield. - Foto AFP
LIVERPOOL: Mohamed Salah dan Federico Chiesa muncul wira Liverpool dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Bournemouth 4-2 pada aksi pembukaan penuh dramatik di Anfield awal pagi ini.
Pada malam penuh emosi susulan kematian penyerang Diogo Jota pada Julai lalu, pendatang baharu Hugo Ekitike membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-37 sebelum Cody Gakpo menggandakan kedudukan pada minit ke-49.

AFP
Bournemouth bangkit menerusi Antoine Semenyo, yang menjadi mangsa penghinaan berbaur perkauman pada separuh masa pertama sehingga perlawanan terhenti seketika, apabila menjaringkan gol pada minit ke-64 dan menyempurnakan gol keduanya 12 minit kemudian untuk mengejutkan penyokong tuan rumah.
Namun, Chiesa kembali menghidupkan sorakan di Anfield apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-88, sebelum Salah memastikan kemenangan dengan gol keempat pada masa kecederaan untuk mengutip tiga mata berharga.