Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Literasi kewangan benteng utama lindungi komuniti luar bandar daripada penipuan siber
  • Selatan
  • WILAYAH

Literasi kewangan benteng utama lindungi komuniti luar bandar daripada penipuan siber

Utusan Sarawak 6 hours ago
VICTOR Liew Wui Tak ketika ditemui pemberita pada Program OooHaa Gawai Dayak AFFIN 2026 di Kampung Mujat, Tebedu, di sini, hari ini.

SERIAN: Literasi kewangan perlu terus diperkasakan dalam kalangan masyarakat luar bandar bagi membolehkan mereka mengurus kewangan dengan lebih bijak, di samping melindungi diri daripada ancaman penipuan kewangan dan jenayah siber yang semakin berleluasa.

Pengarah Perbankan Sarawak Kumpulan AFFIN, Victor Liew Wui Tak, berkata pendidikan kewangan merupakan langkah pertama dalam membantu masyarakat membuat keputusan kewangan yang lebih baik serta meningkatkan keyakinan mereka menggunakan perkhidmatan kewangan secara selamat dan bertanggungjawab.

Katanya, seiring perkembangan dunia digital, aspek literasi kewangan dan kesedaran keselamatan siber menjadi semakin penting, khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar yang kini semakin terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan dalam talian.

“Literasi kewangan dan kesedaran keselamatan siber semakin penting dalam dunia digital hari ini. Kami percaya pendidikan adalah langkah pertama untuk membantu masyarakat membuat keputusan kewangan yang lebih baik serta melindungi diri daripada penipuan dan ancaman siber.

“Melalui kerjasama dengan rakan strategik seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), kami berharap dapat menyampaikan maklumat yang mudah difahami dan praktikal kepada komuniti.

“Usaha turun padang seperti ini memberi peluang kepada kami berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, menjawab persoalan mereka dan meningkatkan keyakinan mereka dalam menggunakan perkhidmatan kewangan secara selamat dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program OooHaa Gawai Dayak AFFIN 2026 di Kampung Mujat, Tebedu, di sini, hari ini.

Program anjuran Kumpulan AFFIN dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak itu menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada penduduk setempat dan wakil media, sekali gus menjadi platform memperluaskan akses masyarakat luar bandar kepada perkhidmatan kewangan, literasi digital serta pemeliharaan warisan budaya masyarakat Bidayuh.

Mengulas lanjut, Victor berkata AFFIN komited memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat pembangunan ekonomi dan kewangan negara melalui pendekatan yang lebih inklusif.

Katanya, menerusi program berkenaan, masyarakat bukan sahaja didedahkan kepada pengurusan kewangan peribadi, tabiat menyimpan dan perancangan masa depan, malah turut diberi pendedahan mengenai penyelesaian perbankan digital serta pelbagai produk kewangan yang bersesuaian dengan keperluan komuniti.

“Bagi AFFIN, tanggungjawab sosial bukan sekadar satu program tahunan. Ia adalah komitmen berterusan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat turut merasai manfaat pembangunan ekonomi dan kewangan negara.

“Kami berharap lebih ramai rakyat Sarawak dapat menikmati akses kepada perkhidmatan kewangan yang mudah, selamat dan inklusif,” katanya.

Sepanjang program tersebut, penduduk Kampung Mujat turut berpeluang mengikuti sesi literasi kewangan, keselamatan internet, pembukaan akaun baharu, pendaftaran Kad Debit Visa AFFIN Kenyalang serta mendapatkan khidmat nasihat berkaitan produk dan perkhidmatan perbankan digital yang disediakan AFFIN.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, AFFIN turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Kampung Mujat bagi menyokong pemasangan sistem solar serta pelaksanaan inisiatif pembangunan komuniti setempat.

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Limbang dan Lawas berpotensi menjadi bandar rentas sempadan
Next: Pengamal media hayati budaya Bidayuh menerusi pengalaman secara langsung di Kampung Mujat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.