SIMANGGANG: Kejayaan 30 peserta menamatkan Kelas Pendidikan Literasi Fungsian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu. Sebaliknya, semangat, keazaman dan kesungguhan menjadi kunci untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, literasi pada masa kini bukan lagi terhad kepada kebolehan membaca, menulis dan mengira, malah menjadi asas penting dalam membina keyakinan diri serta meningkatkan kualiti hidup.
Beliau berkata, penguasaan literasi mampu membuka peluang pekerjaan, membantu masyarakat mengurus kewangan dengan lebih baik, menguasai teknologi serta membuat keputusan yang lebih bijak dalam kehidupan seharian.
“Dalam dunia yang semakin pesat berkembang dengan kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau, hidrogen, teknologi satelit dan industri semikonduktor, penguasaan literasi digital juga amat penting.
“Keupayaan menggunakan teknologi, aplikasi kerajaan, perbankan dalam talian serta mengenal pasti penipuan siber kini merupakan kemahiran yang perlu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Kelas Pendidikan Literasi Fungsian KEMAS Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Rumah Andrew Sah, Nanga San, dekat sini, semalam.
Doris turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pembelajaran masing-masing, sambil menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti bahawa pembelajaran sepanjang hayat mampu memberi manfaat kepada semua tanpa mengira usia.
Beliau berkata kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus komited memperkasa pendidikan sepanjang hayat menerusi pelbagai program latihan dan pembangunan kemahiran bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan.
Menurutnya, inisiatif seperti program KEMAS, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs), Sarawak Skills dan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluaskan akses kepada pendidikan serta pembangunan modal insan.
Dalam pada itu, Doris merakamkan penghargaan kepada para guru, fasilitator dan semua pihak yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan serta membantu meningkatkan tahap literasi masyarakat di kawasan luar bandar.
Seramai 30 graduan menerima sijil tamat kelas pada majlis tersebut yang turut disaksikan Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman, Marinda Steward, serta enam orang tuai rumah dari kawasan sekitar.
Oleh Adi Safarman



