
SIBU: Pasukan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan SUPP Bawang Assan baru-baru ini mengadakan pemeriksaan tapak bagi meninjau perkembangan kerja naik taraf lintasan pembetung konkrit yang baru dimulakan di belakang Gereja Methodist Trinity Sang Ik di Tanjung Kunyit.
Pengerusi Cawangan Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie berkata, projek tersebut merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) khas bagi kawasan Bawang Assan.
“Projek ini bertujuan menaik taraf kemudahan lintasan pembentung serta memperbaiki keadaan jalan demi keselamatan dan keselesaan penduduk,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berpuas hati apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana telah memulakan kerja bahagian terakhir tiga lintasan di kawasan tersebut di mana dua lintasan lain telah berjaya disiapkan tahun lalu.
Menurutnya, ketiga-tiga lintasan tersebut sebelum ini merupakan jambatan kayu lama yang telah mengalami kerosakan teruk akibat faktor masa, sekali gus menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan kepada penduduk serta pelajar yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.
“Dengan pemasangan pembetung konkrit serta kerja naik taraf jalan di sekitarnya, diharapkan apabila projek ini siap sepenuhnya nanti, ia akan menyediakan laluan yang lebih selamat dan boleh diguna untuk kenderaan kecil.
“Di samping itu, ia meningkatkan keselamatan jalan raya dan kemudahan akses bagi komuniti setempat,” katanya.
Katanya, pasukan SUPP Cawangan Bawang Assan akan terus memantau rapat perkembangan projek tersebut serta mengekalkan komunikasi dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan projek RTP ini dapat disiapkan dengan lancar dan mengikut jadual demi manfaat rakyat.
Turut hadir, Penghulu Wong Ung, Penghulu Yong King Sung, Kapitan Ting Siew Kiew dan Kaunselor Justin Wong Sing Ing.
Oleh Akun Giman