SKRANG: Seorang wanita warga emas yang dikhuatiri hilang di kawasan kebun kelapa sawit Memaloi, Batu 8 dekat Skrang pada petang Rabu lalu, masih gagal dijumpai pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, PPgB Vincent Baling Yabi berkata, mangsa, Linjong Edward, 70, dari Rumah Karin, Tabut, Skrang yang turut mengalami masalah pendengaran dipercayai hilang kerana tidak balik ke rumah sejak petang Rabu lalu.
“SAR yang memasuki hari kedua semalam masih lagi gagal menemukan mangsa, biarpun operasi yang dijalankan pada hari ini mendapat bantuan daripada anjing pengesan Unit K9 Bomba.
“Namun SAR hari ini (semalam), petugas penyelamat bersama anjing pengesan Unit K9 Bomba telah menemui petanda baharu iaitu penemuan tapak kaki yang dipercayai milik mangsa pada jarak 1.5 kilometer (KM) dari lokasi kejadian,” katanya.
Vincent berkata, selepas penemuan tapak kaki itu, petugas SAR terus membuat pencarian sekitar radius 200 meter dari lokasi penemuan tapak kaki itu.
“Begitupun, pihak kita masih lagi gagal menemui mangsa walaupun tapak kaki yang dikesan itu dipercayai milik mangsa,” ujar beliau.
Jelas Vincent, SAR semalam yang telah diperkuatkan seramai 81 orang yang terdiri daripada enam anggota bomba, dua anggota Unit K9 Bomba, lapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong, lima anggota Balai Polis Skrang serta 60 orang penduduk kampung.
“Operasi SAR semalam juga turut memasuki beberapa sungai dan juga kawasan darat sekitar kawasan ini. Namun hingga sekarang belum ada tanda-tanda atau sebarang petunjuk mangsa ditemui,” jelasnya.
Beliau berkata operasi SAR untuk hari berikutnya, dijangka akan diperkuatkan dengan lebih ramai penduduk yang akan turun secara sukarela, apabila proses pencarian sudah semakin rumit kerana tempoh masa mangsa hilang sudah memasuki hari ketiga hari ini.
Terdahulu, seorang wanita warga emas yang dilaporkan ‘sesat’ di kebun kelapa sawit Memaloi, Batu 8 dekat Skrang pada petang Rabu lalu.
Mangsa, Linjong Edward, 70, dari Rumah Karin, Tabut, Skrang yang turut mengalami masalah pendengaran dipercayai hilang kerana tidak balik ke rumah.
Mangsa dilaporkan telah keluar seorang diri ke kebun sawit di Memaloi Batu 8 seawal jam 9 pagi Rabu lalu, dengan menggunakan perahu yang ditemui masih diikat di seberang sungai terbabit.
Keluarga mangsa menyedari mangsa sesat atau hilang setelah mendapati mangsa tidak pulang ke rumah pada petang Rabu lalu.
Oleh Adi Safarman