Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Lingga pacu transformasi inklusif, lima resolusi jadi teras masa depan
  • WILAYAH

Lingga pacu transformasi inklusif, lima resolusi jadi teras masa depan

Utusan Sarawak 8 hours ago
ADUN Lingga, Dayang Noorazah semasa berucap pada Majlis Pembentangan Resolusi Forum Ekonomi DUN Lingga di Dewan Suarah Sri Aman hari ini. Foto Adi Safarman

SIMANGGANG: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga kini berada di ambang transformasi besar apabila lima resolusi strategik dirangka bagi memacu pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan lestari, selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menegaskan, pendekatan pembangunan di kawasan itu kini beralih daripada fokus kepada angka dan infrastruktur semata-mata kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh.

Menurut beliau, kejayaan sebenar pembangunan hanya dapat diukur apabila golongan belia tidak lagi perlu berhijrah ke kawasan lain untuk mencari pekerjaan, manakala para petani pula mampu menikmati hasil yang setimpal dengan usaha mereka.

Katanya, Lingga kini berada di landasan tepat dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik.

Antara projek tersebut termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 dan Jambatan Batang Lupar 2, selain Jambatan Lingga serta rangkaian jalan raya Lingga–Sebuyau yang dijangka membuka akses lebih luas kepada ekonomi setempat.

“Persoalannya sekarang adalah bagaimana pembangunan ini benar-benar memberi makna kepada rakyat dan bukan sekadar menjadi simbol fizikal semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembentangan Resolusi Forum Ekonomi DUN Lingga di Dewan Suarah Sri Aman hari ini,

Mengulas lanjut, Dayang Noorazah berkata lima resolusi utama telah digariskan sebagai pemacu masa depan Lingga, merangkumi pembangunan pelancongan lestari, industri halal, pertanian pintar, pendidikan berasaskan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekonomi digital.

Dalam sektor pelancongan, usaha akan ditumpukan kepada pembangunan Koridor Pelancongan Lingga–Sebuyau–Sri Aman, termasuk memperkasa acara seperti Regata Lingga, Pesta Benak dan potensi ekopelancongan di Gunung Lesong bagi menarik pelancong antarabangsa.

Bagi sektor ekonomi pula, cadangan mewujudkan zon pemprosesan halal berasaskan komuniti dijangka dapat meningkatkan nilai tambah produk tempatan serta membuka peluang pasaran global.

Dalam masa sama, pembangunan zon agro ekonomi bersepadu berteraskan teknologi moden akan digerakkan bagi menarik penglibatan golongan belia dan pelabur swasta dalam sektor pertanian.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh pendidikan teknikal melalui kerjasama dengan usat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri masa depan.

Selain itu, pembangunan ekosistem usahawan digital akan diberi keutamaan bagi membolehkan produk dari kampung dipasarkan terus ke peringkat global.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa segala perancangan ini memerlukan tindakan segera dan penyelarasan bersepadu antara semua pihak agar manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh.

“Sejarah tidak datang dua kali. Kita sudah mempunyai infrastruktur dan sumber, kini adalah masa untuk bertindak supaya tiada rakyat tercicir daripada arus kemodenan,” tegas beliau.

Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas kepimpinan berwawasan yang berjaya meletakkan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi, sekali gus memastikan limpahan ekonomi turut dirasai masyarakat luar bandar termasuk di DUN Lingga.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: KCFM Petra Jaya edisi raya meriah, perkukuh gaya hidup sihat dan silaturahim komuniti
Next: Dua tongkang ditahan, gagal patuhi undang-undang pelayaran dan imigresen

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.