LINGGA: Sejumlah tujuh projek ‘besar’ telah dilulus oleh Kerajaan Sarawak bagi memacu proses pembangunan kawasan Lingga yang kini sudah diangkat sebagai salah satu daerah terbaharu dalam negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kos keseluruhan bagi tujuan pelaksanaan tujuh projek ‘besar’ adalah RM367,835,000.
“Tiga daripadanya adalah Projek Perlindungan Tebingan Sungai Bakong bernilai RM90 juta, Infrastruktur Pengairan dan Saliran Kawasan Bakong bernilai RM33.2 juta dan cadangan pembinaan Jalan Stirau – Bakong Bypass, Lingga bernilai RM15.6 juta.
“Sementara itu, selebihnya pula adalah cadangan menaik taraf Jalan Menuang ke Langgir bernilai RM48.8 juta, menaik taraf Jalan Menangkin ke Engkeranji bernilai RM71.5 juta, membina Jalan Lingga – Banting bernilai RM75 juta dan membina Kompleks Ekopelancongan Gunung Lesung bernilai RM33.7 juta,”kata beliau.
Abang Johari mengumumkan projek berkenaan ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Lingga Sebagai Daerah di Pekan Lingga di sini petang semalam.
Tambah beliau, kesemua projek ‘besar’ berkenaan sudahpun dilulus sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubar pada 7 November lalu.
Katanya, perlaksanaan projek besar berkenaan secara tidak langsung akan memperhebatkan lagi proses pembangunan Lingga sebagai sebuah daerah baharu dalam negeri ini pada masa akan datang.
“Lagi pun pekan di Lingga juga akan menjadi lebih besar selepas penukaran status ini dengan kedudukannya yang kini dilihat sudah hampir dekat ke Kuching setelah dihubungkan melalui kawasan Sebuyau.
“Justeru, saya berharap penduduk Daerah Lingga terus bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar usaha pembangunan di kawasan mereka dapat diteruskan hanya oleh ‘orang Sarawak’ dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohammad Bakar Marzuki, Residen Bahagian Sri Aman, Datu Indit Bingit, mantan ADUN Lingga, Dato Simoi Peri dan calon GPS DUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Oleh VALENTINE NGUMBANG