RASMI… Datuk Julaihi Narawi meletakkan tangan di podium sambil disaksikan oleh tetamu VIP semasa menghadiri Majlis Perasmian World Water Day 2022 Peringkat Negeri Sarawak di Kuching semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO
KUCHING: Di bawah Strategi pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 salah satu inisiatifnya adalah dengan melaksanakan grid bekalan air Sarawak yang akan menghubungkan sistem bekalan air dari selatan ke utara.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, sumber air mentah yang dikenal pasti adalah sumber permukaan yang mampu menampung permintaan air yang semakin meningkat sehingga tahun 2070.
“Ia adalah amat penting bagi semua pemegang kepentingan, termasuk rakyat, sektor swasta, pelbagai agensi dan jabatan berkaitan supaya dapat menjalankan peranan masing-masing dalam melindungi dan memulihara sumber air berharga ini.
“Terdapat juga keperluan mendesak untuk melaksanakan pengurusan sumber air bersepadu untuk memastikan kemampanan sumber air negeri ini bukan sahaja untuk generasi ini tetapi juga untuk beberapa generasi yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena dengan Hari Air Sedunia di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Julaihi berkata Malaysia bertuah kerana dilimpahi dengan sumber air tawar dengan purata tahunan 373 bilion meter padu air hujan.
Bagaimanapun, rakyat perlu sedar bahawa dalam memastikan kelestarian sumber air, peranan setiap individu itu juga amatlah penting.
“Penggunaan air yang tidak terkawal dan pembaziran yang berlaku menyumbang kepada pengurangan rizab air.
“Oleh itu, penggunaan per kapita di kawasan bandar di mana kira-kira separuh daripada penduduk Sarawak tinggal adalah sangat tinggi jika dibandingkan dengan kebanyakan negara maju hanya kira-kira 150 liter per kapita sehari,” ujarnya.
Tambahannya lagi, menurut pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), akses optimum kepada air membolehkan penggunaan 100 liter setiap orang setiap hari secara purata, dibekalkan secara berterusan melalui berbilang pili dan yang memenuhi semua keperluan penggunaan dan kebersihan.
Cadangan penggunaan air Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah 165 per liter seorang setiap hari dan inilah sasaran yang ditetapkan dalam pelaksanaan PCDS 2030.
“Adalah menjadi peranan semua pihak dalam memulihara air bagi memastikan kelestarian sumber air adalah amat penting.
“Bagi mengelakkan pembaziran air ini juga, sebanyak RM77.28 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan program mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW). Berdasarkan rekod semasa NRW, beberapa agensi bekalan air mencecah 40 peratus malah lebih tinggi bagi beberapa kawasan di bawah JBALB.
“Sasaran kita seperti yang dinyatakan dalam PSDS 2030 adalah untuk mengurangkan NRW kepada 25 peratus,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru semua agensi bekalan air perlu mengambil tindakan proaktif untuk mengurus NRW secara holistik dan mengurangkan NRW di kawasan masing-masing.
“Saya menyeru semua pihak yang berkenaan khususnya jabatan,agensi dan pihak swasta yang terlibat secara langsung dalam dalam sumber air untuk bekerjasama dan berganding bahu bagi memastikan pelaksanaan dan pengurusan air, tanah dan sumber berkaitan untuk memaksimumkan kesejahteraan ekonomi dan sosial tanpa menjejaskan kemampanan ekosistem penting ini.
“Ini akan menyokong agenda pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat bukan sahaja untuk masa kini tetapi untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO